Wallahi, dengan nama Allah kenyataan saya benar Zahid bawa fail: Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan kebenaran dakwaan beliau bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membawa fail meminta bantuan supaya kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO itu diselesaikan.

Kali ini beliau menegaskan sambil menyebut nama Allah, selain menegaskan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga menjadi saksi.

“Jadi ini saya dah sebutkan wallahi memang itu sudah berlaku (Zahid bawa fail meminta bantuan supaya kes-kes mahkamah dihadapinya diselesaikan).

“Nak buat apa dia (Zahid) nak bersumpah laknat. Ya, itu bukan hal sayalah.

“Tak apalah. Saya nak sebutkan, itu suatu kenyataan benar dari saya dengan nama Allah, memang saya saksikan perkara itu berlaku. Dan sewajarnya tidak lagi menjadi persoalan,” katanya.

Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia kelapan itu berkata demikian ketika ceramah pada Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri DUN) N16 Sungai Balang, bertempat di Padang Awam Bukit Mor, Muar, malam tadi, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan 12 Mac depan.

Ahli Parlimen Pagoh yang juga Presiden Bersatu itu mengulangi bahawa Zahid membawa fail kesnya di rumah beliau yang turut dihadiri Abdul Hadi, malah Azmin juga mengesahkan kejadian itu.

Muhyiddin berkata selepas habis mesyuarat, Zahid menunjukkan fail-fail kes mahkamahnya.

Memetik Muhyiddin:

Zahid berkata: Tolong tengok ni,

Muhyiddin: Ni apa dia?

Zahid: Kes saya.

Muhyiddin: Ni buat apa beri pada saya?

Zahid: Nak minta tolong lah,

Muhyiddin: Macam mana saya nak tolong? Ini soal urusan mahkamah.

Zahid bagaimanapun berkata beliau tidak buat salah, tetapi Muhyiddin menyatakan jika tidak buat salah maka berbicaralah di mahkamah.

“Dah tentu hakim akan tolak kes… awak bebaslah. Apa masalahnya? Itu jawapan saya,” kata Muhyiddin sambil berkata sekarang ini sudah ada asas untuk Zahid menjawab semua pendakwaan itu di mahkamah setelah diperintah membela diri.

Jelas Muhyiddin, beliau menceritakan kejadian itu bagi menunjukkan tekadnya untuk tidak mencampuri sebarang urusan mahkamah dan undang-undang.

“Prinsip kerajaan Perikatan Nasional, berdiri tegas. Tak boleh campur undang-undang. Siapa salah dihukum, itu hukuman. Saya tak boleh kata… ya sebagai perdana menteri tentulah saya ada pengaruh… saya boleh cakap dengan hakim ataupun ketua hakim.

“Dah mereka fikir saya Perdana Menteri dah minta tolong tentulah mereka kata okeylah agaknya. Saya tak terbuat begitu. Hatta kalau anak sesiapapun ditahan oleh polis, dia curi ayam lah katakan… jangan jumpa sayalah. Pergilah jumpa OCPD dan sebagainya. Maksud saya begitu.

“Nak suruh saya juga nak bersumpah. Bukan main sumpah macam gitu. Saya tidak begitu. Bapa saya pun tok guru. Dia tak pernah kata engkau apa-apa hal engkau bersumpah, bersumpah begitu. Kerana saya tak pernah buat satu perkara yang tak betul. Setidak-tidaknya dalam soal-soal yang saya sebutkan tadi,” katanya.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata beliau mempunyai bukti bahawa Zahid pernah membawa timbunan fail untuk meminta bantuan menyelesaikan kes mahkamah dihadapinya.

“Apa yang saya sebutkan memang benar berlaku sebab Zahid ada tunjuk satu fail yang bertimbun dan dia minta bantu selesaikan masalah.

“Saksinya ada di sini Azmin Ali dan Abdul Hadi ada datang ke rumah saya, Zahid ada waktu zaman kita baik dahulu bawa fail. Kalau orang tanya apa saksi, itu ada saksi bahawa itu adalah kenyataan yang betul,” kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, Zahid menafikan pernah berjumpa Muhyiddin ketika Presiden Bersatu itu menjadi Perdana Menteri untuk meminta tolong dilepaskan daripada tuduhan mahkamah.

BERITA BERKAIT
POPULAR