Walaupun PM sekarang daripada UMNO, Mohamad kata prestasi kerajaan tak menyakinkan

Prestasi UMNO dalam kerajaan disifatkan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menyakinkan, ia walaupun parti itu kembali menjadi dominan dengan pelantikan Naib Presiden partinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata walaupun kerajaan dipimpin Ismail Sabri cuba melakukan sebaik mungkin namun ia dilihat masih tidak berjaya dan gagal memulihkan negara yang ketika ini berdepan cabaran pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang semakin suram.

Jelasnya, UMNO tidak boleh mewakili orang Melayu dengan berkesan dalam keadaan kerajaan turut melibatkan parti lawan seperti PAS dan Bersatu bawah Perikatan Nasional (PN).

“Prestasi kita dalam kerajaan tidak menunjukkan keyakinan yang diharapkan. Saya faham dan saya akui, ada yang mencuba dan melakukan sehabis baik. Tetapi hasilnya tidak menyerlah.

“Pemulihan negara masih belum ada lonjakan konkrit. Pembukaan sempadan negara pula baharu sahaja akan dibuka. Prestasi ekonomi terus suram. Kesempitan masyarakat tidak berkurangan. Sistem pendidikan masih belum mencapai tahap yang sepatutnya. Malah, keterlihatan negara di pentas global seperti lenyap sama sekali.

“Itulah dia, kedudukan sebenar UMNO dan prestasi kerajaan waktu ini. Bagaimanalah UMNO dapat menjadi wakil yang berkesan kepada orang Melayu jika sebeginilah kedudukan dan prestasi UMNO dalam kerajaan,” kata beliau semasa merasmikan persidangan sayap UMNO di PWTC, malam ini.

Mohamad juga berkata, UMNO juga tidak boleh bergantung kepada parti lain sebagai talian hayat.

“Hentikan pemikiran gemar bergantung kepada parti lain untuk memerintah. Apatah lagi bergantung dengan PAS, Bersatu atau Pakatan Harapan (PH) sebagai talian hayat dan nyawa simpanan. Budaya mencari talian hayat mesti dibuang. Jangan sesekali meminta-minta nyawa dari orang lain.

“Kita juga mesti berhenti memberi nyawa pada orang lain. Khususnya mereka yang mengemis peluang. Tapi akhirnya menikam kita dari belakang,” katanya lagi.

Mohamad juga membidas perumpamaan ‘itik patah kaki’ yang dikeluarkan sebelum ini oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan berkata kerajaan ketika ini dibentuk hasil tumpangan UMNO bersama parti-parti politik lain.

“Kepada mereka yang mengumpamakan UMNO ini seperti itik yang patah kaki, Kami di sini ingin mengingatkan, gelarlah apa yang sedap sebutannya di bibir.

“Tetapi, UMNO akan terus menjadi kaki dan tangan kepada rakyat, malah buat masa ini, UMNO adalah kaki dan tangan kepada kerajaan tumpangan yang ada sekarang,” katanya lagi.

Mohamad berkata, UMNO harus fokus menjadi parti politik “terkuat dan paling dominan” supaya menjadi teras kepada pembentukan sebuah kerajaan stabil tanpa terikat kepada agenda parti lawan.

“Jika parti kuat dan dominan, kepentingan bangsa Melayu dapat UMNO perjuangkan dengan berkesan.

“Tanpa boleh dirungut-rungut, tanpa boleh diugut-ugut. Kita mesti memenangi pilihan raya dengan majoriti besar untuk membentuk kerajaan yang stabil… (dan) tidak boleh bergantung harap kepada kasihan dan belas orang lain,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR