Walaupun dibebaskan, Ahmad Maslan tak disokong jadi Timbalan Speaker

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan masih tidak mendapat sokongan untuk menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat walaupun dibebaskan daripada kes mahkamah dihadapinya baru-baru ini.

Difahamkan semua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) tidak menyokong Ahli Parlimen Pontian itu, bagaimanapun Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkemungkinan akan memberi jawatan lain dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepadanya.

Menurut maklumat dalaman parti, tindakan Ahmad yang membayar kompaun tidak bermakna beliau sudah dibersihkan daripada pertuduhan mahkamah dan PN tetap dengan berpendirian tidak akan berkompromi dengan mereka yang dianggap sebagai ‘kluster mahkamah’ diberikan jawatan.

“Tiada kompromi dengan kluster mahkamah, bayar kompaun tidak bermakna Ahmad Maslan sudah dibersihkan… Pemimpin PN masih tidak menerima alasan diberikan pemimpin UMNO yang dibebaskan itu.

“Hakikatnya, Ahmad adalah pengikut setia Datuk Seri Najib Razak dan hanya akan mengikut telunjuk pemimpin yang disayanginya,” kata sumber.

Ahmad membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta terhadap dua pertuduhan tidak mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas PM, Datuk Seri Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kerajaan sebelum ini mencalonkan Ahmad sebagai calon Timbalan Speaker, sementara pembangkang menamakan MP DAP, Nga Kor Ming sebagai calon mereka.

Dewan Rakyat menangguh pemilihan jawatan Timbalan Speaker Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada sidang kali ini ke Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadual pada bulan depan.

Mengikut ketetapan awal, usul mengenai perkara itu pada asalnya disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat kali ini iaitu pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14.

BERITA BERKAIT
POPULAR