
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walaupun menyedari UMNO telah memberi kata dua berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, PAS masih berharap penyatuan semula UMNO dan Bersatu dapat direalisasikan demi mempertahankan kepemimpinan Melayu Islam dan Bumiputera di negara ini.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata perpaduan gabungan parti terbesar Melayu Islam itu perlu diteruskan pada PRU-15 setelah mengambil kira kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
“PAS sangat mengharapkan supaya perpaduan yang berjaya diusahakan sehingga dapat menubuhkan kerajaan campuran PN bersama parti-parti dari Sabah dan Sarawak, bergabung bagi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam dan Bumiputera.
“Hasil gabungan ini telah berjaya menjatuhkan Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan sebuah kerajaan campuran PN,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua kepada PAS sama ada memilih BN atau PN untuk meneruskan kerjasama politik menghadapi PRU-15.
UMNO juga memberi tiga syarat kepada PAS ialah:
- PAS perlu keluar daripada gabungan PN;
- Memutuskan hubungan politik dengan Bersatu; dan
- Mengisytiharkan secara rasmi ‘mufaraqah’ berkenaan dan bukan hanya sekadar retorik politik.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata apabila UMNO mengajak PAS untuk berkumpul di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara, dan ditubuhkan gabungan Muafakat Nasional (MN) dengan persetujuan yang ditandatangani bersama piagamnya.
“Kemudian bersetuju dimasukkan juga parti Bersatu ke dalam gabungan MN. Maka, tiada sebab yang munasabah untuk merungkainya dan menasakhkan keputusan yang telah dimeteraikan kepada gabungan yang hanya terhad kepada UMNO dan PAS sahaja, setelah ada dalam kalangan UMNO menolak Bersatu atau kalangan Bersatu menolak UMNO,” katanya.
Menurutnya PAS tetap mempertahankan konsep wasatiyyah dengan berada di tengah-tengah gelanggang pertembungan yang mahu merungkaikan kejayaan bersama menyelamatkan kerajaan PN, setelah bersama-sama berjaya khususnya dalam keadaan bencana alam (Covid-19) dengan menyingkirkan kerajaan PH yang sebenarnya gagal disebabkan krisis dalamannya.
“Selain itu, diharapkan juga kepada parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menolak PH yang berideologi pragmatik dan liberal yang tidak boleh menyelamatkan negara dan masyarakat majmuk di negara ini,” kata Abdul Hadi lagi.
Katanya, PAS akan terus teguh dengan penyelesaian politik berpandukan perintah Allah SWT sebagaimana termaktub di dalam al-Quran.
“PAS tetap memilih konsep ini (wasatiyah) berpandukan perintah Allah SWT dalam al-Quran walaupun berulang kali rebah dan bangun, malah lebih banyak masa mengalami kekalahan dalam pilihan raya daripada memperoleh kemenangan.
“Perkara ini berlaku kerana PAS percaya bahawa penyelesaian selain daripada Islam pasti akan gagal dan manusia tidak boleh ditipu selama-lamanya,” katanya.