
Bekas Ahli Parlimen Batu dan juga veteran PKR, Tian Chua dipecat parti.
Bekas Naib Presiden PKR Tian Chua yang dipecat semalam kecewa dengan keputusan parti memecatnya tanpa sebarang pemakluman secara rasmi tetapi sebaliknya dibuat menerusi kenyataan media sahaja.
Veteran PKR itu sedih dan kecewa dengan layanan parti tersebut terhadapnya yang disifatkan tidak sopan walhal sudah lama berjuang sejak awal bersama parti, malah tindakan tersebut dilihat bertentangan dengan prinsip keadilan yang menjadi pegangan.
“Sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan ini dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, sudah tentunya saya sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.
“Sepanjang perjalanan perjuangan ini, saya tidak sekali pun pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik parti. Hati nurani saya bersih,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.
Dia juga berkata akan terus berjuang untuk pembaharuan dan rakyat walaupun tidak lagi bersama PKR.
“Saya menyertai perjuangan Reformasi sejak 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini,” katanya lagi.
Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (PKR) memutuskan untuk memecat Tian Chua serta empat lagi anggota kerana bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Dia bertanding sebagai calon bebas di kawasan Parlimen Batu – kerusi yang dipengangnya antara 2008 hingga 2018 – dan berdepan penyandang dari PKR, P Prabakaran.
Untuk rekod, Tian Chua menyokong Prabakaran yang merupakan calon bebas pada PRU 2018 setelah dia sendiri hilang kelayakan untuk bertanding.