Usul segerakan PRU dijangka menjadi fokus mesyuarat sayap UMNO

Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian berlangsung selama dua hari bermula hari ini dijangka akan memberi fokus berhubung usul untuk menyegerakan pilihan raya umum (PRU) bagi memberi tekanan kepada Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat peringkat sayap amat penting memandangkan ia suara akar umbi parti itu yang kemudiaannya akan dibawa ke peringkat mesyuarat bahagian-bahagian UMNO, difahamkan usul berhubung persediaan PRU antara perkara utama yang akan dibincangkan.

Selepas selesai mesyuarat peringkat sayap, mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan pada 18 Dis ini dengan disusuli Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 13 Januari tahun depan.

Isu berhubung menyegerakan PRU mula dibangkitkan selepas kejayaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, malah pemimpin kanan UMNO selepas PRN Melaka juga sudah bersuara agar PRU diadakan dengan segera bagi mengekalkan momentum kemenangan mereka.

Dijangka akar umbi akan mengikuti naratif yang sudah disusun pemimpin atasan parti itu, mengemukakan usul supaya diawalkan PRU bagi memastikan UMNO menjadi dominan semula dalam kerajaan dan tidak perlu berkongsi kuasa dengan rakan parti seperti yang sedang berlaku dibawah kerajaan Ismail Sabri ketika ini.

Sumber Agenda Daily memberitahu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga sudah kesuntukan masa dan perlu mengambil langkah drastik bagi memastikan dirinya tidak menerima nasib sama seperti bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman bersabit kes penyelewengan dihadapinya.

“Zahid sudah tidak ada masa lagi, keputusan kes mahkamahnya juga sudah semakin hampir… Beliau perlu mencari jalan dengan segera bagi mengelakkan nasib yang menimpa Najib juga akan berulang sama kepadanya,” kata sumber.

Mengambil kira populariti Zahid dikalangan akar umbi yang masih kuat dan mempunyai penyokong yang ramai, mesyuarat sayap akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan usul untuk menyegerakan PRU dapat dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO nanti.

“Selepas usul di peringkat akar umbi dikemukakan, ia kemudiaannya akan dibawa ke perhimpunan agung untuk dibincangkan… Keadaan sama sebelum ini semasa UMNO membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Bersatu yang turut dimuktamadkan dalam perhimpunan agung,” kata sumber lagi.

Untuk rekod, UMNO sudah menangguhkan pemilihan parti atas alasan penularan Covid-19 dan ia secara tidak langsung menyelamatkan Zahid daripada dicabar mana-mana individu dalam parti dan akan kekal sebagai Presiden sekurang-kurangnya setahun lebih lagi.

Sebelum berakhir tempoh penangguhan pemilihan parti, Zahid perlu mengambil peluang yang ada untuk mendesak PRU disegerakan atau terlepas peluangnya kali ini. Jika gagal dalam usahanya menyegerakan PRU, berkemungkinan besar beliau akan berdepan risiko sama dihadapi oleh Najib.

Terdahulu Agenda Daily melaporkan, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung pada malam Rabu selepas keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan hukuman terhadap Najib tertumpu kepada strategi untuk mempercepatkan pilihan raya umum (PRU).

Mahkamah Rayuan membuat keputusan pada pagi Rabu dan Mesyuarat MT disusuli malam hari yang sama, ia secara tidak langsung menunjukkan tahap keseriusan UMNO terhadap implikasi keputusan mahkamah melibatkan Najib itu.

Zahid mempengerusikan mesyuarat tersebut, ia turut dihadiri Ismail Sabri dan pemimpin kanan UMNO yang lain.

Kes Najib menjadi topik utama dikalangan ahli MT UMNO yang menghadiri mesyuarat tersebut, majoriti tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut dan terdapat beberapa ahli MT yang membangkitkan langkah untuk mempercepatkan PRU susulan keputusan Mahkamah Rayuan paginya itu.

Sekiranya PRU diawalkan, ia bermakna Ismail Sabri akan menjadi PM tersingkat dalam sejarah negara dan lebih membimbangkan UMNO tidak akan mencalonkannya sebagai PM semula jika berjaya memenangi pilihan raya nanti.

Zahid tidak akan membenarkan Ismail Sabri untuk dicalonkan sebagai PM semula kerana ia bakal mengakibatkan dirinya kehilangan kuasa dan kawalan terhadap UMNO.

Bagaimanapun, terdapat juga sebilangan kecil ahli MT yang menolak cadangan PRU diadakan dengan segera dengan alasan parti masih belum bersedia dan ia akan menimbulkan kemarahan rakyat yang baharu sahaja berdepan kesukaran kehidupan akibat penularan Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR