Usia parti bukan ukuran, Ahmad Faizal jawab UMNO

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan usia sesebuah parti politik bukan ukuran dalam memberi khidmat kepada rakyat sebagai membalas sindiran UMNO yang mengatakan Bersatu hanya parti setahun agung.

Timbalan Presiden Bersatu itu berkata istilah ‘parti politik yang baharu setahun jagung tidak boleh menjadi pemimpin’ sebagai menyimpang kerana yang lebih penting adalah kemampuan sesebuah parti memberikan khidmat terbaik untuk rakyat.

“Peribahasa yang mengatakan usia hanya sekadar angka adalah benar apabila parti anda berada dalam keadaan yakin dan berani, usia dalam parti politik sudah tidak lagi relevan,” katanya dipetik Bernama.

Ahmad Faizal tidak menamakan individu yang mengejek Bersatu sebagai parti setahun jagung, bagaimanapun semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 lalu herdikan setahun jagung dilontar  Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan semasa ucapannya yang menghentam parti pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

Ahmad Faizal ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ulang Tahun Ke-2 Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah semalam juga berkata dalam usia hanya dua tahun, Bersatu Sabah mampu menjadi Badan Pimpinan terbaik di negara ini dan mampu meletakkan pemimpinnya sebagai Ketua Menteri dengan kerjasama rakan politik parti itu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak berlaku secara tiba-tiba malah dapat dicapai hasil kerja keras dan budaya politik yang mementingkan kejujuran serta ketelusan dalam membentuk kerjasama politik.

“GRS (Gabungan Rakyat Sabah) sebuah formula politik cukup berkesan dan kerjasama ikhlas ini dapat menjadi medan pertemuan membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang penuh berwibawa,” katanya lagi.

POPULAR