Usaha Muhyiddin jumpa pembangkang perkukuh PN: Mursyidul Am PAS

PAS tidak melihat langkah diambil Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang bertemu pemimpin pembangkang, sebagai tindakan membelakangi atau tidak lagi yakin kepada parti itu.

Sebaliknya PAS menganggap, usaha itu bertujuan memperkukuhkan lagi PN yang turut disertai parti Islam itu bersama Bersatu, Gerakan dan beberapa parti lain di Sabah, Sarawak dan Ahli Parlimen Bebas.

Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin juga tidak menolak kemungkinan pertemuan itu dibuat selepas Muhyiddin menyedari PN tidak mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) selepas beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

“Kemungkinan juga selepas keputusan PRN Melaka dan Johor, dia mempunyai pandangan tertentu untuk bersama (membentuk) kerajaan. Itu terpulang kepada Bersatu.

“Macam mana pun keputusan dia, (ia) masih rahsia lagi. Kita tunggulah (butiran perjumpaan itu),” katanya memetik laporan FMT.

Mengenai pendirian PAS untuk bekerjasama dengan mana-mana parti selain rakan komponen dalam PN, beliau berkata, parti itu sentiasa terbuka untuk membentuk kerjasama demi perpaduan ummah.

“Sama ada berjaya atau tidak kita akan teruskan dengan usaha perpaduan ummah ini. Tak kisah dengan mana-mana parti janji tidak melanggar syariat Islam,” jelasnya.

Semalam, Muhyiddin sambil mengesahkan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan beliau mengambil insiatif merintis kerjasama politik dengan beberapa pihak selepas didatangi pemimpin parti lain, termasuk Pejuang.

Menurutnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan mengenai pembentukan kerjasama bagi mengelak pertembungan banyak penjuru.

“Selepas Pilihan Raya Negeri Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang.

“Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional (BN) yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi. Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

“Ini menyebabkan BN dapat memenangi Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR