
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan tegas sekali lagi menolak kerjasama dengan PAS menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini (2 September 2022) secara terbuka sekali lagi menolak kerjasama yang ditawarkan PAS bagi menghadapi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Kenyataan beliau hari ini bukan pertama kali dibuat, malah ianya sudah berkali-kali ditegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bergerak solo pada PRU-15, namun pemimpin PAS dan sesetengah pemimpin UMNO negeri masih mengharapkan kerjasama itu terbentuk.
Malahan, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini, masih berharap ada ruang berunding dengan UMNO melalui platform MN untuk memastikan tiada pertembungan di 27 kerusi ‘kritikal’ Parlimen antara BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU-15, yang akhirnya akan memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
Tuan Ibrahim berkata perbincangan antara dua pihak iaitu PAS sebagai parti komponen PN dan UMNO yang menjadi tunjang BN perlu diadakan untuk mengelak pertembungan tiga penjuru terutama di kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.
Menyusul kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian pagi tadi, Zahid pada sebelah petang berkata gagasan MN yang ‘menggerunkan’ akhirnya gagal dipertahankan, sambil menyalahkan PAS sebagai puncanya.
“Kini UMNO perlu bergerak ke depan. Parti sudah membuat keputusan bergerak secara solo akibat tindak tanduk dan sikap PAS sendiri.
“Tak perlu sedu sedan apabila PAS sendiri sentiasa main selamat dan mandi dalam beberapa kolam,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam kenyataan petang ini.
Zahid melihat apa yang ditawarkan PAS hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.
“Kunci kejayaan dan kestabilan politik MN adalah kepercayaan, dan kepercayaan ini dirobekkan oleh PAS apabila memilih untuk menganggotai PN dibawah Bersatu dan menenggelamkan momentum kerjasama yang dibina bersama UMNO melalui MN,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berpendirian akan tetap meneruskan kerjasama dengan PAS negeri menerusi MN kerana kononnya kedua-dua parti itu adalah pembangkang di Selangor.
“Saya juga masih berpegang kepada keputusan usul yang dibuat oleh Perhimpunan Agung Umno (PAU) untuk mempertingkatkan kerjasama dalam MN. Walau apa pun, kita ada ketua parti dan akhirnya keputusan itu dibuat kena bersama-sama,” kata Noh yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO.
Sementara, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz pula meletakkan harapan tinggi agar kerjasama dengan PAS melalui MN tidak berakhir dan dapat diteruskan termasuk dalam berhadapan PRU-15.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak juga perlu mencari jalan untuk memastikan gabungan itu terus utuh bukan sahaja di Kedah malah di negeri-negeri lain di Malaysia.
Namun, kenyataan beliau dilihat bercanggah dengan Ketua Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mengatakan UMNO negeri menolak sebarang kerjasama dengan PAS pada PRU-15.