
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Kerajaan digesa mendedahkan individu yang dilantik secara diam-diam tanpa pengetahuan umum, ia selepas isu pelantikan Nurul Izzah Anwar tersebar baru-baru ini.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan bertanya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada masih terdapat lantikan rahsia lain dibuat oleh kerajaan dan meminta penjelasan berhubung skop tugasan yang diberikan kepada anaknya itu.
“Selain itu Anwar juga mesti jelaskan apa bidang kuasa yang diberikan kepada Nurul Izzah.
“Kalau tidak kerana Nurul Izzah terlepas cakap, satu Malaysia termasuklah penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak tahu mengenai pembohongan Anwar yang kononnya menentang kronisme, tetapi secara rahsia melantik anaknya sendiri sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu juga mempertikaikan langkah melantik anak PM sebagai penasihat itu walhal masih ramai lagi pakar ekonomi yang lebih berkelayakan boleh dilantik.
“Kita ada anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan, anak Iban dan pelbagai lagi. Tapi rupa-rupanya yang dipilih ialah anak Anwar. Untung jadi anak Papa.
“Apa juga alasan Anwar dah tak relevan. Hakikatnya Anwar mengamalkan nepotisme,” ujar beliau lagi.
Tambah Wan Saiful, rakyat bukan mempersoalkan pro bono atau berbayar, tetapi mempertikaikan mengapa melantik anak sendiri.
“Rakyat pun tahu kuasa ‘Anak Perdana Menteri’ apabila dilantik sebagai penasihat rasmi, adalah kuasa yang besar.
“Rakyat persoalkan kuasa dan kedudukan yang diberi. Sama ada bergaji atau tidak adalah tidak relevan,” katanya.