
Zahid dikatakan membuat keputusan berlandaskan isu peribadi.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak gentar untuk berdepan pemilihan UMNO kerana sebelum ini pun sudah berjaya mendapat undian tertinggi semasa pertandingan penggal lalu.
Presiden UMNO itu tidak takut sekiranya dicabar pada pemilihan kali ini, malah semasa pertandingan lalu berjaya mendapat sokongan tertinggi jika dibandingkan dengan dua pencabarnya iaitu Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Tengku Razaleigh Hamzah.
“Dulu pun saya dicabar. Dua orang cabar saya. Undi kedua-dua orang yang mencabar saya itu masih belum sama dengan undi yang saya perolehi.
“Bukan saya riak tapi itu sudah terbukti pada 2018. Malah, kombinasi undi kedua-duanya itu sangat kurang berbanding dengan undi yang saya perolehi.
“Bukan riak, bukan sombong, bukan takbur, bukan ujub,” katanya dipetik laporan BH.
Pemilihan UMNO dijangka berlangsung pada tahun ini selepas menangguhkannya diadakan pada tahun lalu.
Dijangka pemilihan akan berlangsung dalam tempoh enam bulan selepas berakhirnya Pilian Raya Umum Ke-15 (PRU-15) baru-baru ini.
Berbeza dengan senario sebelum ini, Zahid menjadi pencatur utama yang membawa kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) dan DAP bagi membentuk kerajaan pusat walaupun dilihat melanggar ketetapan parti.
Bagaimanapun, Zahid memilih untuk bersama cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini diangkat menjadi Perdana Menteri Ke-10.
Pada Pemilihan UMNO 2018, Zahid diangkat sebagai Presiden selepas Datuk Seri Najib Razak melepaskan kedudukan itu dan mengalahkan pencabarnya.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pencabar termasuk Ketua Pemuda UMNO yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika itu, Khairy Jamaluddin yang mendapat 51 undi dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang memperoleh 23 undi.
Dua lagi pencabarnya yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof [email protected], gagal memperoleh sebarang undi.
Dalam pada itu,Zahid menegaskan, kuasa untuk menentukan kepimpinan parti terletak kepada kuasa dan suara perwakilan parti di seluruh negara.
“Saya mempunyai pendirian bahawa kuasa untuk menentukan kepimpinan terletak pada kuasa dan suara perwakilan di seluruh negara.
“Terdapat hampir 160,000 perwakilan yang mewakili cawangan untuk menentukan sama ada kepimpinan sedia ada atau pun kepimpinan yang berubah, untuk kita pastikan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus relevan dalam pentas politik negara.
“Maka kuasa mutlak itu adalah kuasa perwakilan,” katanya.
Setakat ini, UMNO bagaimanapun masih belum mengumumkan tarikh untuk mengadakan pemilihan parti itu.