Undi percaya di Parlimen, kerajaan PN masih mempunyai kelebihan

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah teraju Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai kelebihan apabila usul undi percaya dibentangkan dalam Dewan Rakyat di Parlimen nanti, kata penganalisis politik.

Lebih menyakinkan, cadangan kerjasama atau dalam erti kata lain gencatan politik yang dilontarkan oleh Muhyiddin semalam dilihat mampu memberikan kestabilan kerana sikap keterbukaan kerajaan yang mengajak semua pihak tanpa mengira ideologi politik untuk duduk bersama dan mencari jalan untuk keluar daripada krisis kesihatan yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, jika dikira dengan berhati-hati, jumlah 220 kerusi di Parlimen, PN masih mempunyai majoriti dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih diragui mampu menunjukkan majoriti yang dimilikinya, malah sudah berkali-kali gagal membuktikannya sebelum ini.

“Jumlah ada majoriti PN ialah 31 Ahli Parlimen tambah Barisan Nasional (BN) masih bersama PN. Maka, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mempunyai sokongan majoriti dalam Parlimen,” katanya dipetik dalam Utusan Online.

Katanya, ia boleh dilihat dalam UMNO sendiri yang menyediakan dua ‘bot’ pilihan, satu bersama Presiden dan satu lagi bersama kerajaan PN.

“Persoalannya, yang mana satu bot yang akan karam dahulu? Dalam kes ini, Ahli-ahli Parlimen UMNO harus bijak untuk tidak melompat ke dalam bot yang tiada hala tuju, terutama bila Presiden bersifat menangguk di air keruh.

“Mereka ini terutama kluster mahkamah hanya memikirkan cara untuk menyelamat diri masing-masing sahaja. Tindakan ini akan ditolak rakyat,” katanya.

Kartini berkata, selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH), kerajaan tidak ada majoriti yang jelas dan pembentukan ‘grand alliance’ bersifat strategik serta membantu Bersatu menerajui kepimpinan kerajaan oleh parti minoriti yang mendapat sokongan mencukupi Ahli-ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan sokongan Yang di-Pertuan Agong.

Buat masa ini, katanya, undi percaya masih lagi dimiliki Muhyiddin dan PN kerana kerajaan ini yang mendukung usaha pemulihan negara dan rakyat dalam krisis kesihatan.

“Oleh kerana akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen hanya diketahui Yang di-Pertuan Agong, kemungkinan besar DAP, Warisan, Pejuang juga memberi undi percaya kepada Muhyiddin,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan Ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

BERITA BERKAIT
POPULAR