Undi PAS bersama PN meningkat

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berpendapat langkah PAS bertanding melalui Perikatan Nasional (PN) adalah tepat dari segi kelebihan undi yang diperoleh berbanding bertanding secara solo.

Menurutnya PAS ketika bersama Pakatan Rakyat pernah menang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor sebelum ini, dan kemudian satu kerusi ketika bertanding solo pada Pilihan Raya Umum Ke-14,

“Walaupun menang satu daripada 15 kerusi DUN yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lepas, namun jumlah undi meningkat berbanding sebelum ini,” katanya memetik laporan Harakah.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah menganggap langkah bersama PN lebih cemerlang kerana PAS mendapat undi lebih tinggi.

Pada PRN Johor, parti itu melalui calonnya Abdul Aziz Talib yang bertanding menggunakan logo PN menang di kerusi DUN Maharani mengalahkan lima calon lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, PAS hanya tewas di kerusi DUN Bukit Pasir yang dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya 198 undi, setelah bekas ADUN PAS Najib Lep turut bertanding sebagai calon Bebas dan memperoleh 1,860 undi.

Mengulas lanjut, Sanusi bagaimanapun berkata keputusan PRN Johor adalah satu permulaan baik dan bedah siasat akan dilakukan.

“Satu permulaan yang baik dan saya berpuas hati dengan perkembangan tersebut. Kita tunggu keputusan post-mortem untuk melihat lebih terperinci,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR