Undi calon PN yang bersih, gesa Muhyiddin kepada pengundi Melaka

Calon yang diletak Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini adalah dikalangan mereka yang bersih dan tidak terpalit dengan kontroversi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata berbeza dengan parti lain yang bertanding meletak calon yang melompat dan menarik sokongan sehingga jatuh kerajaan sendiri, calon PN terdiri daripada profesional dan tidak terpalit dengan salah guna kuasa dan bersih daripada rasuah.

“Saya yakin dan percaya (mereka) adalah calon bersih yang akan dapat dipilih untuk membentuk sebuah kerajaan negeri Melaka.

“Jadi sekali lagi saya merayu, sokong lah dan undi lah kepada calon-calon PN. Terima kasih,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.

Untuk rekod, blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) bertindak meletak dua calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang dipimpin juga oleh Ketua Menteri daripada UMNO.

Jelasnya lagi, calon-calon yang dikemukakan itu adalah daripada mereka yang berkaliber dan berkelayakan yang pastinya membawa negeri itu menuju kecemerlangan dan kegemilangan di masa akan datang.

Muhyiddin juga merayu kepada semua pengundi daripada semua bangsa dan agama untuk memberikan sokongan padu kepada semua calon PN yang bertanding dalam pilihan raya itu.

Terdahulu, PN mempertaruhkan 43 peratus calon berusia 40 tahun ke bawah dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan profesional, berpendidikan tinggi dan komited demi kepentingan serta kebajikan rakyat.

Gabungan itu bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan Bersatu bertanding di 15 kerusi, PAS meletakkan calon di lapan kerusi dan Parti Gerakan pula mempertaruhkan calon di lima kerusi.

BERITA BERKAIT
POPULAR