
Ahli Parlimen (MP) Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Empat Ahli Parlimen Sabah tidak menyertai Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan akan kekal di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkara itu susulan terikat dek undang-undang anti-lompat parti yang sudah berkuatkuasa.
Selain Armizan yang merupakan Ahli Parlimen Papar, tiga lagi ahli Parlimen lain, Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).
“Status kami kekal sebagai ahli kepada GRS dan kami ahli secara langsung dalam GRS dan kami tidak akan menyertai parti baharu Gagasan Rakyat kerana undang-undang tidak membenarkan.
“Jadi, kami kekal sebagai ahli melalui keahlian secara langsung sebagaimana sebelum pilihan raya kita telah pun menjadi ahli secara langsung kepada GRS,” lapor Sinar Harian.
Hari ini, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri Sabah mengumumkan mengetuai Gagasan Rakyat yang diambil alihnya sambil memaklumkan ia sudah diterima sebagai komponen GRS, 9 Disember lalu.
GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno).
Dalam pada itu, mengulas tindakan akan diambil Bersatu selepas Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memaklumkan kerusi empat ahli Parlimen itu tidak dikosongkan, Armizan berkata pihaknya menyerahkan keputusan kepada mahkamah.