Umum Adly calon KM Melaka, PH berisiko jika Idris merajuk

Langkah Pakatan Harapan (PH) mengumumkan nama Naib Presiden Amanah, Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri (KM) bakal mengundang risiko yang akan berlaku selepas ini jika bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO, Datuk Seri Idris Haron merajuk.

Untuk rekod, Idris yang bertanding atas tiket PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini juga dikatakan sedang dipertimbangkan untuk dilantik bagi jawatan nombor satu itu.

Spekulasi juga tercetus mengaitkan janji Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Idris yang berjanji untuk melantiknya sebagai KM sebelum ini sehingga menyebabkan menarik sokongan terhadap kerajaan dipimpin Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Idris bersama tiga ADUN lagi menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri dipimpin UMNO sebelum ini.

Anwar diberi tekanan oleh rakan sekutunya, DAP supaya mengumumkan Adly sebagai calon PH kerana dilihat berlengah-lengah dalam membuat keputusan tersebut sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.

Malah, sebelum penamaan calon DAP sudah memberi tekanan hebat kepada Anwar dan mengkritiknya secara langsung kerana sanggup meletak dua bekas ADUN UMNO bertanding atas tiket gabungan pembangkang tersebut.

Anwar sebenarnya tertekan dengan tindakan DAP yang bakal memberikan kesan buruk kepada peluang untuk mereka menang nanti dan akhirnya tunduk dengan tekanan tersebut.

“Tidak ada (calon) yang lompat dikaitkan dengan kita sekarang. Apa yang berlaku ialah inisiatif yang dibuat pimpinan PH Melaka untuk berunding dengan rakan yang berasakan lemas dengan sistem dan pimpinan UMNO.

“Saya nak jelaskan, kami teliti secara mendalam berhubung kesediaan menerima kawan kita sebagai rakan yang boleh sama-sama mengharungi ujian ini.

“Seterusnya dapat meletakkan asas pentadbiran kerajaan yang kukuh di Melaka dengan gandingan pengalaman pelbagai pihak dan dengan harapan boleh menerobos kawasan tradisi Melayu yang tidak dapat ditembusi sebelum ini,” katanya menurut laporan.

Kenyataan tersebut memperlihatkan langkah Anwar yang cuba berlembut dengan DAP yang dilihat keras dalam menerima keputusannya, oleh sebab itu terpaksa mengumumkan nama Adly sebagai calon KM mereka.

Bagaimanapun, Idris pastinya terluka dengan pengumuman tersebut apabila janji dibuat Anwar tidak ditepati. Ia bakal mengundang rasa merajuk buat Idris dan berkemungkinan boleh berpatah balik semula bersama UMNO.

Jika perkara itu berlaku, ia pastinya akan mengundang krisis politik berterusan tanpa penyelesaian.

Menurut Anwar lagi, semua pemimpin dan parti dalam PH akan bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan kemenangan di semua 28 kerusi DUN yang ada.

BERITA BERKAIT
POPULAR