UMNO, Zahid pun gagal, kata DAP

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menempelak kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah gagal.

Memberitahu pemberita di Seremban hari ini Loke yang dilihat ‘lebih mesra’ dengan kerajaan PN menyifatkan UMNO juga turut gagal kerana parti itu adalah sebahagian daripada kerajaan.

Katanya UMNO mempunyai 38 Ahli Parlimen yang dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan Zahid untuk keluar daripada kerajaan PN.

“UMNO juga mesti sama-sama mengambil tanggungjawab kerana ia sebahagian daripada kerajaan PN.

“Sekiranya dia mengakui bahawa kerajaan PN telah gagal, itu bermakna UMNO juga telah gagal,” katanya dipetik daripada laporan Mkini.

Zahid awal pagi tadi menyatakan pendiriannya menarik balik sokongan kepada kepemimpinan kerajaan PN dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Rosol Wahid menyifatkan keputusan Zahid itu sekadar melepaskan dirinya kerana gagal mengurus UMNO.

“Nampak sangat keputusan dibuat ada percanggahan pendapat dalam kalangan ahli MT (Majlis Tertinggi),” kata bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu.

Sebelum itu, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Zahid tersebut menyeleweng daripada topik perbincangan yang berjalan malam tadi atau dalam erti kata lain yang dibincang tapi lain pula yang keluar dari mulutnya semasa membaca perutusan sidang media itu.

“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MT,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Annuar mendedahkan hasil daripada maklumat yang diperolehnya, kenyataan media semasa siaran sidang media tersebut sudah dirancang lebih awal sebelum berlangsung mesyuarat MT jam 8.30 malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR