UMNO tolak Onn Hafiz sebagai MB?

Pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN), termasuk daripada UMNO, ‘berdiam diri’ – tiada ucapan tahniah – susulan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai Menteri Besar (MB) Johor yang baharu, hari ini.

Semakan Agenda Daily di laman sosial milik Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapati tiada ucapan tahniah sebagaimana kebiasaan daripada seorang pemimpin atasan parti, demikian juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Kecuali bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga MB tidak dilantik semula Datuk Hasni Mohammad, yang mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz, pemimpin lain hanya berdiam diri.

Malah, bekas Menteri Besar Johor yang juga Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin yang sebelum ini lantang menyuarakan pandangan berhubung pemilihan MB Johor sambil dilihat menyokong Hasni, juga terdiam.

Perbuatan mereka sesuatu yang agak janggal, apatah lagi tersebar luas sebelum ini bahawa Hasni yang menjadi ‘posterboy’ BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac lalu, akan dikekalkan sebagai MB.

Malah, pada saat-saat akhir sebelum Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membuat pengumuman, tersebar laporan mengatakan 38 daripada 40 ADUN BN, mengemukakan akuan bersumpah (SD) yang menyokong Hasni sebagai MB.

Terdahulu, Onn Hafiz, 43 tahun,  mengangkat sumpah jawatan MB di hadapan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene kira-kira jam 3 petang tadi.

Tindakan pemimpin UMNO yang tidak memberi ucapan tahniah kepada Onn Hafiz dilihat seolah-olah menolak pelantikan itu, apa lagi laporan menyebut bahawa perwakilan UMNO Johor tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula esok.

Memetik Bernama tindakan itu dibuat susulan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu. Tetapi laporan itu tidak menyatakan keputusan perwakilan UMNO berbuat demikian kerana membantah pemilihan Onn Hafiz sebagai MB.

Untuk rekod, pelantikan MB adalah hak dan kuasa yang ada pada Sultan Johor.

Laporan juga menyebut bahawa dalam satu perjumpaan di Saujana malam semalam, Hasni cuba menghalang usaha segelintir perwakilan UMNO Johor yang mahu menolak pelantikan Onn Hafiz sebagai MB.

Ia sekali gus menunjukkan majoriti pemimpin UMNO negeri itu enggan menyokong Onn Hafiz sebagai MB.

Sebelum ini, Zahid ketika kempen PRN Johor telah menyatakan bahawa Hasni akan dikekalkan sebagai MB dan faktor itu juga dikatakan mempengaruhi pengundi Johor untuk memilih BN.

Namun, susulan pemilihan Onn Hafiz yang juga cicit kepada pengasas UMNO Allahyarham Datuk Onn Jaafar, perwakilan UMNO Johor menunjukkan ‘bantahan’ mereka dengan tidak mahu mengambil bahagian dalam perbahasan pada PAU bermula esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR