UMNO tidak mahu sambung MoU, pembangkang pula ancam tamatkan

Ketika Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang mampu menstabilkan politik negara, sekali gus mendorong pemulihan ekonomi, sesetengah pihak membuat tuntutan yang boleh mengancam MoU itu.

Ancaman itu bukan sahaja datang daripada pembangkang, sebaliknya dalam kalangan pemimpin parti yang menerajui kerajaan sendiri – UMNO.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin tidak ada sebab Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) kerajaan dan pembangkang perlu diteruskan selepas 31 Julai ini.

Katanya UMNO perlu memahami apakah sebenarnya CSA yang dimaksudkan itu supaya sebarang langkah yang akan diambil kerajaan adalah sesuatu yang perlu.

“Saya ada terserempak dengan beberapa pemimpin pembangkang yang memaklumkan bahawa CSA itu hanya satu kerjasama yang mereka berikan kepada kerajaan bagi meluluskan akta-akta berkaitan kewangan, bukan yang lain.

“Jadi kerajaan kadang-kadang dalam kita nak melaksanakan sesuatu ia tak semestinya bersifat populis… kita kena lakukan sesuatu perkara itu kerana kita rasa bahawa ia amat tepat untuk memastikan kejayaan negara.

“Tapi kalau kita ada perjanjian dengan pembangkang, mungkin banyak perkara kita tak boleh buat. Lagipun, kita dulu ada kerjasama dengan pembangkang kerana keadaan kita berhadapan dengan cabaran Covid.

“Jadi keutamaan kita ialah untuk pastikan tidak ada ganggu-gugat. Itu sebabnya ia berkisar pada soal Akta Kewangan dan mana-mana akta yang akan membantu negara berjaya berhadapan dengan wabak Covid. Itu sebenarnya yang saya dimaklumkan,” katanya.

Khaled bagaimanapun berpendapat perjanjian itu tidak perlu diteruskan sekiranya ia boleh menjejaskan negara dan parti pemerintah, khususnya UMNO sendiri.

Mengulas berhubung Pilihan Raya Umum (PRU) beliau berkata kerajaan tidak tertakluk untuk berbincang soal pilihan raya dengan pembangkang.

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pula menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan MoU yang dimeterai bersama kerajaan jika Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti tidak diluluskan di Parlimen.

Guan Eng berkata, pihaknya akan bersemuka dengan Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berkenaan MoU tersebut pada minggu hadapan.

“Kita perlu jernihkan di sini. Kalau ini tidak diluluskan, saya rasa akan tamatkan MoU melainkan ada beberapa penjelasan terlebih dahulu. Apa pun, kita dapatkan penjelasan dan Perdana Menteri bersetuju bertemu kami minggu depan dan ini bagi mendapatkan penerangan beliau.

“Kami mahu bincang hal ini sebab dalam aturan (urusan mesyuarat Dewan Rakyat) esok, pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan pertama,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Semalam, Ismail Sabri berkata beliau mendapati walaupun terdapat perbezaan pandangan pembangkang tidak terlalu emosional dan mereka menyokong kerajaan dalam sidang Parlimen.

“Keadaan politik stabil ketika ini, sebab itu kita yakin lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke Malaysia, cuma ramai yang minta diadakan pilihan raya lebih awal. Kita risau juga jika pilihan raya lebih awal, kestabilan mungkin tidak dapat dikekalkan.

“Alhamdulillah, politik kita stabil. Bolehlah balik Malaysia,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam selama dua hari bermula semalam.

BERITA BERKAIT
POPULAR