UMNO tidak boleh buat keputusan unilateral berhubung PRU awal: Annuar

Keputusan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan segera tidak boleh dibuat secara unilateral meskipun terdapat desakan kumpulan tertentu, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu berkata kerajaan yang terbentuk ketika ini terdiri daripada gabungan pelbagai parti dan langkah untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan segera perlu mengambil kira peruntukan Perlembagaan.

“Kita berada dalam satu kerajaan yang merupakan gabungan pelbagai parti, UMNO tidak boleh buat keputusan secara unilateral.

“Ada kaedah yang akan diperincikan oleh parti. Saya fikir apa yang digambarkan presiden agak jelas, sebenarnya menyegerakan PRU itu memang menjadi impian semua orang, cuma soal bila dan bagaimana, kita juga perlu mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan,” katanya selepas perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) tadi.

Beliau berkata setiap perkara yang hendak dibincangkan mesti dalam konteks tidak boleh mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong, dan soal pembubaran Parlimen perlu dibincang secara tertib.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya menyentuh mengenai keperluan mengadakan PRU-15 dengan segera tetapi berkata perkara itu diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam Ucapan Dasar Presiden pada PAU pagi ini, Zahid berkata parti bertanggungjawab dan mempunyai kuasa untuk menentukan arah tuju sendiri.

“Apabila mood di bawah. Dalam PRK (Pilihan Raya Kecil), dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) ke arah pada kita. Nak tunggu apa lagi? (bubar Parlimen),” tegas Zahid.

Semasa persidangan sayap yang berlangsung semalam juga, para perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO juga menimbulkan desakan supaya PRU-15 disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR