UMNO tidak akan bersetuju dengan syarat PH supaya Anwar jadi PM

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO tidak akan dapat menerima syarat diletak blok pembangkang sebelum ini yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri mereka sekiranya ingin bekerjasama bersama gabungan itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ia suatu yang mustahil untuk UMNO tunduk dengan syarat diletakkan Pakatan Harapan tersebut memandangkan permusuhan antara pemimpin parti itu dengan Anwar amat ketat dan tidak dapat menyokong Presiden PKR itu sebagai calon Perdana Menteri.

“Permusuhan mereka dengan Anwar sangat ketat, mereka tak boleh nak sokong Anwar.

“Lagipun Anwar ini kalau dia bekerjasama dengan pihak itu ini, ada pihak yang tidak bersetuju takkan sokong, dia tak boleh dapat (sokongan),” kata Dr Mahathir semasa wawancara dengan Agenda Daily baru-baru ini.

Pakatan Harapan sudah menyatakan pendirian sebulat suara untuk menamakan Anwar sebagai calon PM mereka dan menggesa supaya UMNO juga menerima syarat tersebut sekiranya ingin bekerjasama.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke sebelum ini juga menegaskan UMNO, Warisan atau mana-mana parti yang hendak bekerjasama dengan PH mesti menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM.

UMNO dan BN setakat ini belum menyatakan siapa calon PM mereka walaupun parti itu ketika ini mempunyai presiden yang juga pengerusi BN iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Keengganan UMNO menamakan calon PM mengakibatkan akar umbi parti semakin resah dengan hala tuju parti tersebut dan mengakibatkan mereka hilang keyakinan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) jika ia diadakan dalam masa terdekat.

Sudah menjadi lumrah presiden UMNO yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) akan menjadi perdana menteri Malaysia sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Umum.

Berhubung keengganan UMNO menamakan calon mereka, Dr Mahathir berkata bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak sebenarnya masih mempunyai hasrat untuk menjadi PM sekali lagi sekiranya kes mahkamahnya sebelum ini terbatal dan kesalahannya diampunkan.

“Najib kalau boleh dia nak jadi PM sekali lagi… kalau diampun, segala kesalahan dia itu dibatal, dia mungkin ingin jadi perdana menteri sekali lagi,” katanya lagi.

Jelas Dr Mahathir, kemelut untuk mencari calon PM yang sesuai sekiranya PH dan UMNO akan berlarutan tanpa penyelesaian kerana masing-masing mahu berebut jawatan PM.

“Jadi masing-masing nak jadi perdana menteri.

“Tapi kalau umum, orang ini umum dia ini tak dapat sokongan, pasal orang lain pun nak jadi juga,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR