Najib lebih wibawa dan berfungsi daripada Zahid untuk pimpin UMNO

Pemerhati politik melihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih berwibawa daripada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beberapa pemerhati politik negara Asean berpendapat UMNO tidak mempunyai pemimpin yang berwibawa untuk diketengahkan, sebaliknya masih mengharapkan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penulis buku dan pemerhati politik Malaysia, Pauline Leong ketika memberitahu This Week ini Asia persepsi umum adalah bahawa Najib – Perdana Menteri sejak 2009 hingga 2018 – berfungsi lebih baik sebagai ‘pembangkang’ berbanding ketika menerajui negara.

Sementara Profesor Pengajian Asia dan Pengarah Institut Asia Tasmania, Universiti Tasmania, James Chin pula berkata suara najib lebih bergema ketika berada di bawah.

Bagaimanapun beliau berpendapat tujuan kritikan dilemparkan Najib terhadap kerajaan sekarang ini adalah untuk memberi isyarat kepada UMNO bahawa beliau adalah ‘pemimpin krisis yang lebih berkebolehan’.

Katanya, usaha ini juga akan membantu meningkatkan semula kedudukannya di dalam UMNO, yang mana sesetengah pemerhati berkata parti itu telah berpecah kepada beberapa kem, yang salah satunya menyokong Najib dan ada yang menyokong Presiden UMNO sekarang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya rasa lebih lama Najib berada di luar sana ia akan membuat beliau lebih baik. Terdapat juga pandangan bahawa dalam UMNO, mereka tidak mempunyai individu berbakat.

“Dan pada akhirnya, jika anda melihat kepada kepemimpinan dalam UMNO sekarang ini, beliau (Najib) masih menjadi individu paling berbakat di kalangan pemimpin parti sedia ada,” kata James Chin.

UMNO sekarang ini menyumbang 38 Ahli Parlimennya dalam kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berbanding 31 Ahli Parlimen daripada parti Bersatu, manakala selebihnya adalah PAS, MCA dan MIC.

Namun sebagaimana Najib, Zahid sebagai Presiden UMNO sekarang turut berdepan tuduhan di mahkamah membabitkan jutaan ringgit wang Yayasan Akalbudi.

Dan, kedua-duanya mungkin tidak memenuhi syarat untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang – mungkin diadakan selepas pandemik Covid-19 berakhir – sekiranya mereka tidak dibebaskan daripada tuduhan di mahkamah yang dihadapi ketika ini.

Bagi Najib, adakah mungkin segala usaha dilakukannya sekarang akan membantu memulihkan semula prospek politiknya yang hampir padam akibat tuduhan dan hukuman undang-undang ke atasnya?

Penganalisis berkata mahkamah akhirnya akan membuat keputusan ke atas Najib, namun pendiriannya sekarang mungkin mempunyai kaitan dengan Muhyiddin yang sedang melihatnya dalam masa beberapa bulan ini.

Najib sekarang ini mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi, kepada Mahkamah Rayuan. Jika kalah, beliau masih boleh merayu di Mahkamah Persekutuan.

“Dari segi politiknya, apa yang akan berlaku kepada Najib selepas ini secara asasnya di dalam tangan Muhyiddin.

“Sama ada Muhyiddin akan campur tangan untuk menyelamatkannya, segala-galanya bergantung kepada Muhyiddin,” kata James Chin.

POPULAR