UMNO tiada duit, kalau Najib derma RM114 juta itu baguslah

Selepas menjadi jutawan segera sebaik menang kes wang sitaan RM114 juta, Datuk Seri Najib Razak digesa untuk menderma wang itu kepada UMNO sepenuhnya memandangkan keadaan kewangan parti yang semakin parah, kata Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata Ahli Parlimen Pekan tersebut dituntut berbuat demikian kerana wang itu merupakan hak parti bukannya milik individu dan lebih baik sekiranya ia dipulangkan semula kepada parti untuk digunakan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya nanti.

“Pertama sekali parti UMNO tiada duit… jadi kalau Datuk Seri Najib derma untuk UMNO baguslah, memang duit tu dia habaq (beritahu) untuk UMNO jadi beliau kena bagi balik kat UMNO lah.

“Ini duit UMNO, ahli kita ramai kita patut bagi dekat Bahagian untuk persediaan pilihan raya,” katanya kepada Agenda Daily.

Mengulas gesaan berhubung sama ada ia sepatutnya juga diderma untuk tujuan kebajikan di Palestin, Zahidi menyifatkan ia sebagai perkara yang berbeza memandangkan wang RM114 juta tersebut adalah milik parti dan ia tidak dikutip secara sukarela untuk tujuan tersebut, maka ia harus dipulangkan semula kepada parti.

“Yang Palestin ini dah banyak orang kutip , sukarela dah kutip yang ini duit UMNO, dalam hal ini saya nak ucap tahniah juga kepada Datuk Najib kerana dapat balik, terima kasih juga pada mahkamah kerana memahami bahawa ini merupakan duit persatuan,” katanya lagi.

Terdahulu, Najib menjelaskan walaupun sudah menang kes sitaan wang RM114 juta tersebut, wang tersebut masih belum dikembalikan dan sekiranya dikembalikan selepas ini ia terpulang untuknya berbelanja wang tersebut sesuka hati.

Khamis lalu selepas Mahkamah Tinggi membuat keputusan berhubung kes RM114 juta itu, peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata akan menghantar surat kepada Peguam Negara (AGC) untuk menuntut wang tersebut dalam tempoh 24 jam.

Shafee juga berkata selepas dikembalikan, terpulang kepada Najib dan UMNO untuk mengambil bahagian masing-masing, bagaimanapun tidak dijelaskan secara terperinci jumlah yang akan dibahagikan antara Najib dan UMNO.

Untuk rekod, sepatutnya tempoh 24 jam itu berakhir pada Jumaat malam lalu dan atas sangkaan baik mungkin surat itu sudah ada atas meja Peguam Negara ketika ini.

Khamis lepas, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR