UMNO Terengganu desak tamatkan MN

UMNO didesak menamatkan segera hubungan dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) setelah parti Islam itu dilihat sudah tidak lagi bernafsu untuk terus bersama memperkuatkan kerjasama berkenaan.

Wakil UMNO Terengganu Bazlan Abd Rahman berkata MN kini hanya tinggal nama gara-gara sukap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN).

Bahkan katanya, ucapan-ucapan daripada pemimpin PAS akhir-akhir ini bersifat seolah-olah UMNO yang menyebabkan retaknya hubungan di dalam MN.

“Manakala kecurangan dan kerana tamak haloba mereka cuba mendapat keuntungan melalui PN tidak pula dijadikan sebagai punca masalah dalam MN,” katanya membahas ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini, sambil mengimbas semula apa yang berlaku terhadap MN di Terengganu.

Sebab itulah katanya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sentiasa konsisten mengingatkan kepada pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan helah PAS.

“Kami berhadapan dengan PAS sejak tiga generasi yang lalu. Parut yang ditinggalkan oleh PAS masih dirasai hingga ke anak cucu orang UMNO hari ini. Sejak peristiwa solat dua iman, kafir mengkafir, nikah dua kali, sembelihan tidak boleh dimakan dan segala macam fatwa songsang yang telah dikeluarkan oleh PAS.

“Ketika ini UMNO Terengganu masih menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri, tapi dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan PAS sepanjang dua tahun melayari Muafakat Nasional di Terengganu. Tiada cerminan sebenar muafakat yang dapat ditunjukkan,” katanya.

Bazlan berkata dalam banyak hal PAS Terengganu langsung tidak mengambil kira keberadaan wakil-wakil rakyat UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat.

Malah katanya, di setiap kawasan DUN yang diwakili UMNO dan BN, Di situlah juga PAS mewujudkan pentadbirannya sendiri untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jika sudah bermuafakat, apa perlunya lagi wujud satu pentadbiran lain? Apakah kedudukan wakil rakyat UMNO tidak diiktiraf. Semua ini wujud kerana PAS tidak menganggap UMNO dan BN sebagai sebahagian daripada kerajaan. Jauh sekali untuk mengagihkan jawatan-jawatan di setiap peringkat pentadbiran, malah bajet yang sepatutnya disalurkan kepada wakil rakyat juga dialihkan kepada pentadbiran PAS kawasan tersebut.

“Justeru, apa ertinya kewujudan MN bahkan pemimpin nombor satu kerajaan PAS Terengganu sendiri pun tidak hadir sewaktu pelancaran MN peringkat negeri Terengganu,” katanya.

Oleh itu Bazlan berkata UMNO di peringkat akar umbi di Terenggani mahukan supaya MN ini ditamatkan daripada menyimpan kudis yang menjadi barah.

“Jika sudah tahu penyakit itu mudarat kenapa masih tidak berubat. Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.

“Tamatkan Muafakat Nasional dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri. Jadi kenapa kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak, kita pun tak ingin,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR