UMNO Tenggara usul sokong Ismail Sabri terus jadi PM hingga 2023

UMNO Bahagian Tenggara mengusulkan Naib Presiden parti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus memimpin kerajaan sedia ada sehingga berakhir penggal Parlimen ke-14 pada 2023.

Bahagian yang diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba sekali gus menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebelum 2023.

Ini bermakna, bagi UMNO bahagian itu, pemilihan parti perlu diadakan sebelum PRU15 iaitu pada November 2022.

Bercakap kepada media selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) di Kota Tinggi hari ini, Dr Adham berkata, usul menyokong Perdana Menteri itu bagi memastikan negara dapat dipulihkan daripada pandemik Covid-19.

“Tentu sekali perkara pokok yang akan kita bawa usul adalah mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

“Ini bagi memastikan bahawa kita benar-benar dapat keluar dari wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi, memulihkan apa yang kita lalui sepanjang Covid-19 ini dan kembali kepada kehidupan seperti dahulu yang telah kita alami,” katanya.

Memetik Utusan, Dr Adham turut meminta perwakilan dan ahli-ahli di cawangan serta masyarakat untuk terus memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri ketika ini sehinggalah tamat penggal dan menuju ke PRU15 pada 2023 nanti.

Menurutnya, pendirian UMNO Tenggara mahu supaya memberi ruang dan peluang untuk Perdana Menteri dari UMNO itu memimpin negara dan membuktikan bahawa tanggungjawab yang diberi dengan penyatuan daripada rakan-rakan komponen dan juga parti-parti yang bersama ketika ini dapat dilaksanakan.

Semalam, UMNO Bahagian Ketereh diterajui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, meluluskan usul mendesak pemilihan parti disegerakan.

“Tahun 2022 adalah tahun wajib diadakan pemilihan di semua peringkat parti dan tidak boleh lewat dari November 2022.

“Justeru, parti perlu menyegerakan proses tersebut agar setiap lapisan kepimpinan di cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) mendapat mandat ahli untuk melangkah menuju PRU15 yang tempohnya sehingga 2023,” kata Ketua Penerangan UMNO Bahagian itu, Roslan Ab Hamid, yang membentangkan usul berkenaan.

BERITA BERKAIT
POPULAR