UMNO tangguh pemilihan parti enam bulan selepas PRU

UMNO akan segera menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk memohon penangguhan pemilihan parti selepas enam bulan daripada tarikh Pilihan Raya Ke-15 (PRU) atau dalam tempoh enam bulan.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata isu pemilihan di dalam UMNO yang hangat dibincangkan sejek kebelakangan ini dianggap telah selesai.

Oleh itu, beliau sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO meminta Naib Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melihat surat yang akan dihantar kepada ROS supaya tiada halangan dilakukan kerana jabatan berkenaan bukan di bawah menteri UMNO.

“Keputusannya ialah yang paling besar sekali yang perlu dibuat segera ialah bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan enam bulan selepas daripada Pilihan Raya Umum ataupun dalam jangka waktu enam bulan.

“Saya minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tolong perhatikan sikit jika kita tulis kepada ROS jangan pula nanti ada orang yang menghalang keputusan parti kita kerana menterinya bukan menteri daripada UMNO.

“Tahu sajalah kan… susah kita nanti. Jika ini dapat kita luluskan, maka apa yang telah pun menjadi sebagai perkara yang hangat dibincangkan mutakhir ini oleh orang-orang UMNO telah selesai.

“Selaku Pengurusi Jawatankuasa Pengurusan saya perlu mengambil tindakan selepas ini untuk pastikan supaya apa yang telah pun diputuskan ini akan digerakkan dan diambil segala tindakan segera,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, hari ini.

Mohamad berkata langkah itu dibuat kerana UMNO takut berlaku perpecahan sekiranya pemilihan dilakukan sebelum PRU.

“Apa yang kita takutkan ialah menghadapi pilihan raya selepas pemilihan parti diadakan… kerana sejarah menunjukkan jelas bahawa setiap kali ada pemilihan parti… perpecahan memang berlaku.

“Kita jangan menidakkan ini dan kita tidak mahu parti kita dalam keadaan yang dah baik ini berpecah dan menghadapi pula pilihan raya dalam masa yang sama,” katanya.

Mengulas beberapa pengumuman menggembirakan yang dibuat Ismail Sabri, Mohamad berkata PRU perlu diadakan dalam keadaan rakyat sedang gembira dengan UMNO susulan apa yang telah diumumkan itu Perdana Menteri itu.

“Yang orang rasa dah seronok dengan kita, lepas itu kita berlima, kita duduk… top five duduk, kita bincang bila pula kita nak adakan pilihan raya dengan good feeling daripada rakyat Malaysia… jangan kita tunggu lama-lama ya.

“Tetapi biar orang rasa seronok dulu… dua tiga bulan dapat itu dan kita panggillah dan sebagai pemimpin yang telah pun berjanji untuk terus bersefahaman dengan pihak-pihak pembangkang sampai bulan tujuh kita lalukanlah… dan kalau boleh selepas itu kita bincang (berkenaan PRU),” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR