
UMNO kini bersetuju bersama DAP.
UMNO menangguhkan Perhimpunan Agungnya (PAU) 2022 pada awal tahun depan dan bukan pada hujung tahun ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Keputusan itu dibuat oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO susulan keputusan kerjasama dengan rakan strategik baharu dengan DAP dan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan di peringkat persekutuan baru-baru ini.
Bagaimanapun, sumber dalaman memberitahu UMNO berkemungkinan akan membuat jemputan kepada rakan baharu mereka seperti DAP dan PKR untuk menghadiri perhimpunan utama parti tersebut dan tidak sempat untuk menyediakan kad jemputan jika diteruskan pada hujung tahun ini juga.
Ahmad atau dikenali sebagai Mat Maslan itu memberi alasan PAU 2022 yang asalnya dijadualkan pada 21 hingga 24 Disember ini, ditangguhkan kerana tarikh berkenaan bertembung dengan cuti persekolahan.
Sehubungan penangguhan itu, beliau memaklumkan pihaknya akan menghantar notis rasmi dalam masa terdekat berhubung tarikh baharu PAU 2022, iaitu pada 11 hingga 14 Januari tahun depan.
“Oleh kerana 21 hingga 24 Disember 2022 adalah waktu cuti sekolah dan ramai perwakilan yang ingin bercuti hujung tahun ke merata tempat, maka Perhimpunan Agung UMNO adalah ditangguh.
“Tarikh baharu ialah pada 11 hingga 14 Januari 2023. Harap dalam makluman tuan puan. Notis PAU 2022 akan dihantar secara rasmi tidak lama lagi,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Sebelum ini, Ahmad mengumumkan PAU tahun ini akan berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 Disember ini.
Ahli MT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii pula memaklumkan pelaksanaan PAU 2022 itu tidak akan membabitkan pemilihan parti.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sebelum ini meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO, yang menyaksikan pemilihan UMNO di semua peringkat perlu diadakan tidak lebih dari tempoh enam bulan selepas pelaksanaan Pilihan Raya Umum Parlimen (Dewan Rakyat).