UMNO tanding semua kerusi tradisi, Parlimen ‘dikhianati’, kata Zahid

UMNO membayangkan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam meletakan calon di semua kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO akan bertanding di semua kerusi tradisi dan kerusi yang ‘dikhianati’ apabila Ahli Parlimen parti itu melompat menyertai parti lain.

Mendakwa bahawa akar umbi UMNO memberi mandat dan amanah kepadanya untuk dilaksanakan, Ahli Parlimen (MP) Bagan Datuk itu berkata parti itu kekal mendesak PRU15 diadakan apabila pandemik Covid-19 berakhir dan imuniti kelompok dicapai.

“Kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

“Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai, maka PRU15 perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

“Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi,” katanya.

Semakan Agenda Daily mendapati sehingga April lalu terdapat 16 Ahli Parlimen UMNO yang menang pada PRU14 lalu menyertai Bersatu setelah hilang kepercayaan kepada kepimpinan UMNO diterajui Zahid.

Mereka terdiri daripada:

1) Datuk Seri Mustapa Mohamed (MP Jeli);

2) Datuk Seri Hamzah Zainuddin (MP Larut)

3) Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (MP Tanah Merah);

4) Datuk Mas Ermieyati Samsudin (MP Masjid Tanah);

5) Datuk Rosol Wahid (MP Hulu Terengganu);

6) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (MP Beluran);

7) Datuk Azizah Mohd Dun (MP Beaufort);

8) Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (MP Bagan Serai);

9) Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (MP Bukit Gantang);

10) Datuk Rozman Isli (MP Labuan);

11) Datuk Shabudin Yahaya (MP Tasik Gelugor);

12) Datuk Seri Dr Abdul Latiff Ahmad (MP Mersing);

13) Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (MP Sabak Bernam);

14) Datuk Abdul Rahim Bakri (MP Kudat);

15) Datuk Zakaria Mohd Edris (MP Libaran); dan

16) Yamani Hafez Musa (MP Sipitang).

Mengulas lanjut, Zahid berkata UMNO juga kekal dengan ketetapan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Mac lalu yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 ini.

“Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR