UMNO takkan runding dengan PN, Zahid yakin sapu bersih semua

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan keyakinan parti yang dikemudinya akan sapu bersih semua kerusi ditandingi dalam pilihan raya umum depan nanti, malah mereka akan kembali menjadi dominan di Putrajaya.

Zahid yang juga anak murid kepada Ketua Pembangkang itu berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan berunding pembahagian kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) kerana parti tersebut sudah kuat dan berupaya untuk bergerak secara bersendirian tanpa kerjasama dengan mana-mana parti luar lain.

“UMNO akan mempertahankan kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi dalam pilihan raya yang lalu.

“UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi telah dimenangi dalam PRU14,” kata Ahli Parlimen Bagan Datoh dalam hantaran Facebooknya.

Jelasnya, pendirian tersebut hadir daripada suara akar umbi yang mahu UMNO tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti lain bagi memastikan kerajaan pusat kembali diterajui parti tersebut tanpa memerlukan campur tangan luar.

“Ketetapan ini bukan hanya oleh MT (Majlis Tertinggi), tetapi ia lahir dari suara akar umbi yang mahu UMNO menjadi dominan semula selepas PRU15,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, kemenangan UMNO akan memberi sumbangan penting dalam memastikan kestabilan politik, sejajar dengan statusnya sebagai parti Melayu terbesar.

“Dan pastinya UMNO sedia maklum akan ada parti lain bertanding di kawasan sama. Ini lumrah sebuah negara demokrasi.

“Namun jangan sesekali memperkecilkan kekuatan UMNO dan para akar umbinya bangkit,” ujarnya lagi.

Dalam PRU14 lalu, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen dan 241 kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi beberapa wakil rakyatnya lompat parti.

Terdahulu semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bahawa gabungan itu akan meneruskan rundingan kerusi antara parti komponen PN dan sekutunya bermula minggu depan tanpa penglibatan UMNO dan BN yang masih tidak jelas pendirian mereka.

BERITA BERKAIT
POPULAR