
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan. - Gambar Agenda Daily
Tiada jemputan kepada pemimpin dan parti lain selain parti komponen Barisan Nasional (BN) ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 pada 11 Januari ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO itu mengesahkan keputusan tidak menjemput pemimpin parti lain dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) ke PAU walaupun kini sudah membentuk kerjasama di peringkat kerajaan Persekutuan.
“Kami membuat keputusan bahawa PAU kali ini adalah hanya antara ahli UMNO dan parti komponen BN. Nak selesaikan perkara berkait UMNO dan BN sahaja.
“Bukan sahaja parti lain, malah duta asing juga kita tak jemput, tidak seperti sebelum ini. Setakat ini, itulah keputusannya,” katanya dipetik laporan BH.
Menurut Ahmad lagi, perhimpunan kali ini hanya membabitkan ahli UMNO dan parti komponen BN serta enam ‘Friends of BN’ (rakan BN) untuk memberi tumpuan kepada isu dalaman parti.
Ujarnya lagi, pendirian itu adalah keputusan Majlis Kerja Tertinggi setakat ini.
Untuk rekod, UMNO kini menjadi sebahagian dalam kerajaan selepas kerjasama dengan PH dan DAP untuk membentuk kerajaan campuran.