UMNO tak gembira keputusan rayuan Najib, belum bincang jatuhkan kerajaan

Keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kes Datuk Seri Najib Razak disambut dengan rasa ‘dukacita’ UMNO, bagaimanapun belum membincangkan untuk menjatuhkan kerajaan buat masa ini.

Rasa tidak gembira itu dinyatakan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat semalam selepas mahkamah membuat keputusan mengekalkan Najib bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya melibatkan dana syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) bernilai RM42 juta.

“Mesyuarat MKT Umno yang diadakan pada malam 8 Dis […] telah membuat keputusan antara lain menzahirkan rasa dukacita terhadap keputusan rayuan kes Datuk Seri Najib Razak,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.

Kenyataan itu juga bertegas keputusan yang dijatuhkan terhadap bekas presiden UMNO itu bermotifkan politik.

“Tanpa hilang rasa hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, MT UMNO berharap agar keputusan rayuan beliau (Najib) di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU ke-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik.

“UMNO percaya sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” katanya lagi.

Kenyataan itu hanya dikeluarkan hari ini walaupun mesyuarat MT UMNO berlangsung semalam dengan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam Najib gagal dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Najib didakwa atas tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat SRC bernilai RM42 juta.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 kemudian memutuskan Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM120 juta.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang kemudian sebulat suara memutuskan permohonan Najib itu ditolak.

Bagaimanapun Najib sudah mengarahkan pasukan peguamnya untuk membawa kes tersebut ke mahkamah tertinggi di negara ini, iaitu Mahkamah Persekutuan.

Dalam kenyaaan sama Ahmad juga memberitahu Perhimpunan Agung UMNO 2021 akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Januari 2022 secara hibrid.

BERITA BERKAIT
POPULAR