
Pemilihan UMNO bermula pada 1 Februari depan.
Tarikh pemilihan parti yang sepatutnya diadakan dalam tempoh enam bulan tidak akan dibincangkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) yang akan berlangsung mulai hari ini, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata tumpuan PAU yang bermula hari ini tidak memfokuskan kepada tarikh pemilihan parti memandangkan memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.
“Pemilihan parti di semua peringkat ini bermula dari cawangan, bahagian dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) termasuk sayap hendaklah diadakan sebelum 19 Mei depan. Pada 19 November lalu, kita mengundi (PRU ke-15), dalam tempoh enam bulan (selepas) itulah (pemilihan parti mesti diadakan).
“Segala hal pemilihan parti hendaklah diselesaikan sebelum 19 Mei 2023. Pengumuman tarikh tidak dibuat semasa perhimpunan ini, ada tempoh beberapa minggu lagi untuk kita buat keputusan,” katanya pada sidang media di Laman Media PAU 2022 menurut laporan Bernama.
Ahmad berkata, selain pemilihan parti, PAU2022 akan memberi tumpuan kepada tiga lagi perkara, iaitu menetapkan hala tuju parti selepas PRU15, selain persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
“Apa persiapan kita menghadapi PRN nanti, ini satu lagi perkara saya kira akan dibahaskan bermula esok oleh sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Jumaat dan Sabtu akan ada senarai pembahas dari semua negeri dan sayap, akan menyentuh bagaimana kita mahu menang pilihan raya enam negeri ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, UMNO akan melihat semula pencapaian teruk parti pada PRU-15 hingga gagal memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Apa yang kita boleh belajar dari PRU-15. Walaupun kita menang tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK), menang 21 kerusi (Dewan Undangan Negeri) dari 28 kerusi di Melaka atau 40 kerusi DUN dari 56 kerusi di Johor.
“Kemenangan di tujuh PRK dan dua PRN itu, presidennya adalah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kenapa masa PRU, kita tidak dapat ulangi kejayaan di dua PRN dan tujuh PRK itu?. Sudah tentu ada perkara luar biasa yang berlaku menyebabkan kami tewas.
“Saya mahu mendengar pandangan dan mengapa wujud keluarbiasaan itu. Apa sebab, puncanya yang kami boleh perbaiki pada masa depan,” katanya.
PAU 2022 membuka tirai malam ini dengan perasmian persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur serta PAU 2022 bermula Jumaat hingga Sabtu.
Terdahulu jam 2.30 petang ini, satu sesi taklimat khas presiden akan diadakan di Dewan Merdeka yang dijangka dihadiri kira-kira 3,000 perwakilan UMNO dari seluruh negara.