
UMNO kini sebahagian salam kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui PKR.
Keputusan memecat dan menggantung pemimpin serta ratusan ahli parti malam tadi mengesahkan spekulasi yang berlegar-legar sejak kebelakangan ini dan terbukti UMNO kini sudah menjadi hak milik peribadi.
Pemecatan dan penggantungan yang diumumkan UMNO malam tadi dibuat tanpa diberi peluang untuk membela diri, malah lebih bermotifkan kepada kepentingan peribadi seorang individu.
Bagaimanapun, ia secara tidak langsung menunjukkan keberanian Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menunaikan janjinya untuk membersihkan UMNO dan menjadikan parti lebih kuat selepas ini.
Ironinya, tindakan yang diambil UMNO tersebut dibuat selepas keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu membuat ketetapan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Adakah ini maknanya ‘ready to fight’ yang dikatakan oleh Zahid kepada bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semasa PAU lalu?
Sudahlah tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, kini Zahid memecat pula kumpulan yang dilihat tidak sebulu dan boleh menggugat kedudukan kuasanya dalam UMNO.
Namun, pihak yang paling gembira dan lega dengan keputusan Zahid pastinya PKR yang dipimpin oleh cikgu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sudah pasti Anwar bangga melihat keberanian anak murid dalam menyekat kemaraan lawannya kerana jika dibiarkan ia mungkin akan menggugat kerajaan campuran diterajuinya.
Jika sebelum ini UMNO dilihat sebagai sebuah parti untuk orang Melayu berpaut, tetapi ia kini sudah bertukar menjadi parti untuk seorang individu mempertahankan dirinya semata-mata.
UMNO juga sekarang ini boleh dianggap sebagai anak syarikat kepada PKR, malah corak pentadbiran dan cara menguruskan parti juga dilihat semakin sama, pecat dan gantung ahli sewenang-wenangnya tanpa diberikan ruang untuk mempertahankan diri.
Sebagai sebuah anak syarikat kepada PKR, sudah semestinya UMNO juga perlu mengikut arahan parti induk bagi mengelakkan tersasar daripada matlamat bersama.
Walaupun berbeza nama parti, namun kedua-duanya berkongsi matlamat dan tujuan yang sama, iaitu ‘saya tolong awak dan awak tolong saya’ atau dalam bahasa Inggerisnya ‘you help me, i help you’.
Atas dasar ini, Anwar dan Zahid juga sebenarnya saling memerlukan satu sama lain, al maklum sudah diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan semestinya perlu ada timbal balik juga.
Selepas operasi pembersihan UMNO malam tadi, adakah masih ada masa depan yang cerah buat parti yang diterajui Zahid bagi tempoh empat tahun mendatang?
Peristiwa malam tadi mengulangi episod pada 2016 ketika UMNO diterajui Datuk Seri Najib Razak bertindak memecat Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Zahid nampaknya mengulangi langkah sama dibuat oleh Najib, memecat sesuka hati kumpulan yang tidak sehaluan.
Berbeza semasa krisis politik pada 2016, kumpulan yang didakwa Zahid mensabotaj dan melanggar disiplin parti tersebut hanya menuntut perubahan dalam UMNO dan mahu memulihkan parti yang kalah teruk semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Bagaimanapun, tuntutan kumpulan yang tidak sehaluan tersebut dianggap sebagai musuh dalam parti dan akhirnya Zahid menggunakan kuasanya untuk memecat mereka.
Lihat selepas krisis UMNO pada 2016, apa yang berlaku selepas itu?
Selepas insiden pecat-memecat pada 2016, UMNO tersungkur buat kali pertama dalam sejarah dan tidak dapat menjadi kerajaan Persekutuan.
Sekarang, Zahid mengulangi langkah sama dan adakah dengan keputusan membersihkan UMNO ini, parti akan menjadi lebih kuat lagi?
Mungkin Zahid beranggapan dalam tempoh beberapa tahun ini, UMNO akan dipulihkan dengan serta-merta dibawah penguasaannya dan sebab itu operasi pembersihan perlu dilakukan secara segera.
Jika sebelum ini UMNO dirosakkan oleh Najib kerana dikelilingi oleh pembodek, apakah jaminan UMNO kali ini tidak akan berdepan dengan kerosakkan sama dibawah Zahid?
Atau adakah pada PRU-16 nanti, UMNO hanya akan tinggal batu nisan sahaja?