UMNO sudah ada calon PM, sekarang waktu terbaik PRU-15 diadakan: Mat Hasan

Keputusan UMNO mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), menunjukkan kesepakatan dan kestabilan parti itu.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau Mat Hasan itu berkata pengumuman calon PM tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan pembangkang semakin lemah dan perlu disegerakan PRU-15 bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).

“Mood ‘feeling good’ itu masih ada, ketika ini juga kita lihat parti pembangkang dalam keadaan bercempera (pecah-belah), jadi sebagai perancang kepada parti, ini waktu terbaik diadakan PRU15.

“Kita ikut ‘window’ fasa berfasa, masanya dari sekarang hingga Jun, kalau lebih (dari tempoh itu) kita tengok ‘window’ lain sebab dinamik politik berubah-ubah, kita tak boleh kata keadaan ini berpanjangan sehingga akhir tahun atau tahun hadapan…perlu kaji dengan teliti,” katanya dipetik laporan Bernama.

Mohamad terdahulu menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad juga berkata pengumuman pencalonan Ismail Sabri juga menutup dakwaan kononnya parti itu berkecamuk dalam menentukan ‘poster boy’, lapor Bernama.

“Bagi saya menghadapi pilihan raya, kita mesti uruskan ‘rumah tangga’ kita dulu, kita perlu pastikan dalam rumah tangga kita teratur, kalau rumah tangga berkecamuk, siapa yang nak kita tonjolkan, ia menjadi tanda tanya dan jadi berebut-rebut itu tidak baik bagi parti, jadi bila pucuk pimpinan dah memutuskan ini maka dalam parti lega.

“Orang kata UMNO berkecamuk, tak dapat pilih siapa ‘poster boy’, jadi kita jelas bahawa kita bersepakat perdana menteri sekarang adalah calon terbaik…UMNO kini bersatu, tenang dan bersiap sedia hadapi pilihan raya,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan PRU-15, Mohamad berkata beliau akan ke setiap negeri selepas Ramadan, bagi memantau dan meneliti kerusi mana yang perlu difokuskan dan berpotensi untuk peroleh kemenangan.

“Ada kawasan yang kita nak kekalkan, ada kawasan yang kita nak dapatkan dan ada kawasan yang kita nak kurangkan kekalahan, itu strategi saya…kita perlu berpijak di atas realiti, bukan semua kita mahu bertanding,” jelasnya.

BERITA BERKAIT
POPULAR