
Tan Sri Noh Omar.
Keputusan kerjasama UMNO dengan PAS perlu mendapat kelulusan di peringkat pusat terlebih dahulu, kata Tan Sri Noh Omar.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu berkata UMNO masih mempunyai hubungan baik dengan PAS di Selangor dan berharap ia dapat diteruskan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti, bagaimanapun ia perlu mendapatkan lampu hijau daripada badan tertinggi itu terlebih dahulu.
“Tiada negeri yang ada autonomi kecuali Sabah. Yang lain termasuk saya di Selangor kena tunggu apa keputusan pucuk pimpinan.
“Setakat ini BN Selangor masih mempunyai kerjasama yang baik dengan PAS. Dari peringkat bawah, kerjasama kita setakat ini masih berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Biaya Usahawan 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sebelum ini, Noh sendiri pernah menyuarakan bahawa BN perlu bekerjasama dengan PAS jika ingin merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) dan kata membangkitkan kekalahan pada PRU lalu kerana berlakunya pertembungan tiga penjuru dengan PAS.
Ditanya mengenai tiga kebimbangan anggota Kabinet iaitu isu cuaca, enam negeri tidak bersedia membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akta berkaitan antilompat sebelum bersetuju untuk mengadakan PRU-15 tahun ini, beliau berkata ia terserah kepada budi bicara dan pertimbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.