UMNO Selangor merayu elak bertembung dengan PAS dalam PRU-15

UMNO Selangor merayu dengan PAS supaya dapat mengekalkan Muafakat Nasional (MN) di negeri tersebut bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Tan Sri Noh Omar berkata rayuan tersebut dibuat menerusi perutusan surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang meminta untuk tidak berlaku pertembungan antara kedua-dua parti itu di Selangor.

“Hasrat tersebut kita nyatakan pada Pas bagi mengelakkan pertembungan dengan parti tersebut di negeri ini hingga melibatkan tiga penjuru.

“Pada hakikatnya kita dan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) Selangor sehingga kini sentiasa berhubung dengan baik,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Noh terdahulu merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Karang di Institut Pengurusan Peladang (IPP), Kuala Selangor.

Malah, Noh juga berkata sudah menemui Hadi pada tahun ini bagi mempertahankan kerjasama kedua-dua parti tersebut di negeri ini.

“Kita ingin mengelakkan pertembungan tiga penjuru kerana ia boleh menyebabkan kekalahan kepada parti disebabkan pecahan pengundi yang menyokong calon masing-masing.

“Kita dengan ini akan terus mempertahankan kerjasama dengan Pas untuk negeri Selangor. Kita tidak mahu bertembung hingga menyebabkan parti lain yang menang,” ujarnya lagi.

Kerjasama UMNO dan PAS kebelakangan ini dilihat agak kurang baik, terutamanya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu yang menyaksikan kedua-dua parti bertembung antara satu sama lain.

Bagaimanapun, UMNO mendapat keuntungan hasil pertembungan tersebut apabila berjaya memenangi PRN Melaka dengan bergaya, sementara PAS pula gagal memenangi sebarang kerusi.

Selain itu, pemimpin UMNO dan PAS juga berperang mulut berhubung kerjasama dalam MN, ia apabila UMNO didakwa mengkhianati janji apabila enggan menerima Bersatu sebagai sebahagian daripada kerjasama dalam MN.

PAS mendakwa UMNO tidak menghormati perjanjian dalam MN yang pada awalnya bersetuju untuk membawa masuk ke dalam kerjasama MN.

BERITA BERKAIT
POPULAR