UMNO salahkan PAS tinggalkan MN

Muafakat Nasional (MN) tidak dapat bertahan lama kerana PAS meninggalkan UMNO dan sedia bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya selepas UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 parti itu tidak menolak sama sekali untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Atau sebab itulah kita wujudkan Muafakat Nasional. Tetapi MN tidak dapat tahan lama kerana PAS meninggalkan kita. PAS telah lebih terima PN dan kemudian PAS terus ajak kita untuk bersama Bersatu dalam keadaan dia tahu kita tak boleh nak terima Bersatu.

“UMNO tak boleh nak terima Bersatu kerana ia sangat jelas. Ia sebuah parti yang tujuan penubuhannya ialah untuk menggantikan UMNO. Itu bahasa yang cantiklah.

“Tapi menggantikan UMNO maknanya untuk membunuh UMNO,” katanya dalam satu wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang berakhir hari ini.

Di dalam PAU hari ini, seorang perwakilan UMNO dari Terengganu, Baslan Abd Rahman mendesak UMNO menamatkan terus kerjasama dengan PAS menerusi MN.

Menurut Bazlan MN kini hanya tinggal nama gara-gara sukap curang PAS yang berjinak-jinak dengan Bersatu melalui PN.

Mengulas lanjut, Khaled berkata atas sebab itu UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor bertindak untuk bertanding secara solo.

“Bukan kita tak ajak PAS… di Melaka kita ajak. Tapi mereka lebih memilih Bersatu, mereka dalam mempertimbangkan tawaran UMNO, mereka menyatakan bahawa UMNO mesti terima Bersatu. Jadi syarat dia itu kita tak aa tak dapat nak terima. Jadi akhirnya kita terpaksalah pergi solo,” katanya.

Mengenai kemungkinan parti lain bekerjasama di bawah khemah besar untuk menghadapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang, Khaled berkata beliau percaya parti lain sedang mengkaji punca kekalahan.

Sudah pasti katanya, parti lawan akan membuat pelbagai strategi untuk berhadapan dengan BN pada PRU akan datang.

“Untuk itu UMNO perlu bekerja kuat seperti disebut Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan… kita menang sikit… kalau pembangkang bersatu, UMNO boleh kalah.

“Tetapi soal menang atau kalah, itu kita berusahalah. Kita kena kerja kuat. Kalau dia (gabungan parti lawan) rasa dia boleh menang, dia bawalah keluar semua pengundi dia.

“Pada UMNO sama ada mereka di bawah satu payung besar, UMNO sudah bersedia secara solo. Bukankah jika duduk di bawah payung besar itu bermakna Pakatan Harapan 2.0 yang rakyat sangat kenal dan kini telah menolaknya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR