UMNO Sabah laung kesediaan hadapi PRU15

UMNO Sabah sudah bersedia bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan tahun ini.

Menurut Ketua Bahagian UMNO Kimanis Datuk Mohamad Alamin, jentera parti di peringkat akar umbi telah memulakan gerak kerja mereka di bahagian masing-masing sejurus selepas UMNO tewas dalam PRU14.

Beliau turut menzahirkan keyakinan episod kekalahan UMNO di Sabah, salah sebuah deposit tetap Barisan Nasional (BN) sebelum ini, tidak akan berulang lagi dalam pilihan raya akan datang.

“Menjelang pilihan raya kecil, kita kerja lebih kuat kemudian menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita kerja lebih kuat lagi.

“Kita akan terus buat kerja di semua peringkat pusat daerah mengundi (PDM), malah kita telah menggerakkan jentera pilihan raya di semua peringkat.

“InsyaAllah kita cukup yakin pada kali ini rakyat akan dapat buat penilaian yang tepat,” katanya.

Terdahulu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menjangkakan bahawa PRU15 akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

Ia ekoran pengumuman UMNO yang enggan menyambung Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai ini.

Sementara itu, Mohamad menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti  sama ada beliau akan dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis yang disandangnya itu dalam PRU15 nanti.

“Saya tiada hak untuk bercakap, kita hanya tunggu dan lihat, kita tunggu keputusan parti.

“Sudah tentu (keputusan pucuk pimpinan), jadi kita lihat apa juga keputusan parti nanti, biar parti putuskan dan biar rakyat buat keputusan,” katanya.

POPULAR