UMNO Sabah juga tolak pendirian Zahid, kekal bersama GRS

Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa UMNO Sabah tidak bersekongkol dengan pendirian Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya beliau berkata UMNO Sabah kekal dengan pendirian bersama rakan komponen dan Parti Bersatu Sabah (PBS) untuk mempertahankan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah itu berkata pendirian UMNO negeri itu telah dimaklumkan ketika bertemu Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kita tetap mempertahankan GRS dan terus menghormati mandat rakyat. Kita baru sahaja mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Kerajaan GRS masih berfungsi bagi menjalankan tugas kesejahteraan demi rakyat Sabah,” katanya mengulas pendirian Zahid pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi.

Memetik laporan Astro Awani Bung Moktar bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung senario politik semasa yang berlaku di Semenanjung sebaliknya menetapkan Sabah tetap mempertahankan intitusi pentadbiran sedia ada.

Zahid awal pagi tadi menyatakan pendiriannya menarik balik sokongan kepada kepemimpinan kerajaan PN dan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kenyataan Zahid tersebut menyeleweng daripada topik perbincangan yang berjalan malam tadi atau dalam erti kata lain yang dibincang tapi lain pula yang keluar dari mulutnya semasa membaca perutusan sidang media itu.

“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MT,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, Annuar mendedahkan hasil daripada maklumat yang diperolehnya, kenyataan media semasa siaran sidang media tersebut sudah dirancang lebih awal sebelum berlangsung mesyuarat MT jam 8.30 malam tadi.

BERITA BERKAIT
POPULAR