UMNO punca perpecahan ummah, kata Ibrahim Ali

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan parti lama beliau – UMNO – menjadi punca kepada perpecahan ummah.

Ketika mengulas mengenai perpaduan ummah dengan UMNO, beliau mengakui apa yang diperkatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ada kebenarannya.

“Betul apa yang Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) katakan tetapi dia kena fikir UMNO itu sendiri yang perlu dibetulkan dahulu sebelum mahu memperbetulkan orang kerana kerosakan yang berlaku adalah kerana UMNO.

“The ultimate kepada semua masalah ini bukan disebabkan parti tetapi masalah pemimpin Melayu dalam mana-mana parti,” katanya.

Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 minggu lalu, Mohamad mengingatkan Bersatu agar tidak berbicara mengenai perpaduan ummah dengan parti itu, sedangkan UMNO sudah lama mendukung perpaduan bangsa Melayu.

Bagaimanapun, pada PAU itu UMNO sebulat suara menyokong usul memutuskan hubungan dengan Bersatu, dan akan bersendirian dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bercakap pada wawancara khas dengan Utusan Malaysia, Ibrahim berkata, isu perpecahan Melayu adalah persepsi yang dicipta.

“Contohnya, UMNO. Apabila Putra ditubuhkan dan mereka mendakwa kita memecah-belahkan Melayu, sebenarnya mereka cakap begitu sebab takutkan kekalahan dan untuk kepentingan mereka,” katanya.

Mengulas kelebihan yang bakal diperoleh Pakatan Harapan (PH) jika Melayu berpecah, beliau menyifatkan kemasukan orang Melayu ke dalam DAP adalah sesuatu yang positif.

“Kalau ada orang Melayu nak pergi ke DAP sekali pun, mana tahu entah-entah sehingga boleh menyebabkan parti itu bergolak atau mengambil alih kepemimpinan DAP, why not.

“Saya berfikiran positif sebab DAP mendakwanya parti pelbagai kaum dan orang Melayu boleh masuk,” katanya.