UMNO perlu kembali ke ‘asal’, bimbang negara ditadbir bukan Melayu, kata Ku Li

UMNO perlu mencari formula agar tidak kalah lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Ahli Parlimen (MP) Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah.

Ini kerana, menurut Tengku Razaleigh jika UMNO masih lagi kalah dan tidak kembali kepada UMNO yang asal, kemungkinan negara ini akan dipimpin oleh bukan bangsa sendiri, lapor MalaysiaGazette. 

“Ini yang sangat saya bimbangkan, tiada lagi muka Melayu sebagai pemimpin.

“Saya bercakap ini kerana, apa yang dilakukan oleh UMNO baharu boleh jadi begitu jika tidak kembali ke asal.

“Jika Melayu sendiri tidak dapat meyakini kaum sendiri, yang mana kitalah majoritinya, apa akan jadi nanti?” katanya dalam program webinar bertajuk ‘UMNO Yang Hilang’ anjuran Majlis Perundangan Melayu. 

Pada 9 Oktober lalu, Tengku Razaleigh berhasrat untuk menghidupkan kembali UMNO lama yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988.

Hasrat itu tercetus kerana beliau mendakwa UMNO kini telah kehilangan taring dan ia boleh menyebabkan parti berkenaan menghadapi kesukaran pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Bagaimanapun, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membidas hasrat veteran Umno yang mesra dengan panggilan Ku Li itu dengan memberitahu bahawa perbezaan ideologi politik perlu dihentikan serta bersatu dalam landasan sama demi negara tercinta.

Selain itu, dalam program sama, Ku Li berkata, biarpun pelbagai usaha yang dilakukan demi mengembalikan UMNO menerajui kembali tampuk kepimpinan negara, perkara itu diakui sukar direalisasikan.

Beliau menjelaskan, walaupun percaya dengan ketelusan ahli-ahli akar umbi daripada UMNO asal, namun UMNO baharu yang diterajui oleh mereka yang masih mahu jawatan dan kedudukan menyebabkan parti keramat itu tidak dapat dipulihkan. 

“Bagaimana kaedah UMNO asal ini boleh kembali ke tempatnya? Kita lihat sendiri, selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, ramai yang meninggalkan Barisan Nasional (BN).

“Susah untuk kita kembali kerana keadaan sudah berubah. Tak ada upaya nak buat apa-apa dengan UMNO baharu ini. Kerana itu saya berundur,” katanya.

Meskipun sudah berundur, Ku Li berkata masih ramai yang datang kepadanya dan berharap UMNO dapat dipulihkan.

“Mereka mahu UMNO asal ini diaktifkan kerana ramai yang ada hari ini sudah keluar dan menyertai parti lain.

“Kalau kita mahu aktifkan semula, UMNO asal ini perlu membuat saringan dan tapisan terlebih dahulu.

“Ini penting, agar yang akan bersama-sama UMNO asal ini bukan mereka yang memikirkan soal kedudukan atau jawatan,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR