
Pembersihan dalaman UMNO sedang berjalan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15,
Tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang masih tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO dipertikaikan pemimpin veteran parti itu.
RoS sepatutnya memberi keputusan mereka pada 16 Julai lalu tetapi sehingga hari ini UMNO masih tidak menerima sebarang maklum balas dan menyebabkan timbul pelbagai tanda tanya, kata Pengerusi Veteran UMNO, Datuk Othman Desa.
Othman berkata RoS sepatutnya memberi jawapan dengan cepat kerana bagi mengelakkan UMNO berada dalam keadaan tertekan jika keputusan tidak memihak kepada mereka apabila perlu mengadakan pemilihan parti secara terkejut walhal semua prosedur sudah dipatuhi.
“Isu berkaitan RoS saya tak tahu kenapa ambil lama sangat, padahal kita sudah bagi habis semua, jadi apa masalahnya? Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) sudah buat dan semua ikut peraturan.
“Kalau sudah jelas semua dan jika lulus, beritahu lulus. Kalau tak setuju dan mahu dokumen (tambahan), minta dan UMNO akan bagi,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
RoS sebelum ini memaklumkan keputusan mengenai pindaan perlembagaan parti itu bagi menangguhkan pemilihan dan tarikh akhir keputusan itu adalah pada 16 Julai.
Perhimpunan Agung Khas UMNO pada Mei lalu sebulat suara meluluskan usul meminda Perlembagaan UMNO yang antara lain membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).
Dalam pada itu, Othman menjelaskan, isu UMNO takut untuk mengadakan pemilihan juga tidak perlu dibangkitkan kerana parti itu sudah beberapa kali melakukan perkara itu.
Sebaliknya beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti itu antara perkara yang ditakuti sekiranya pemilihan dalam masa PRU yang bakal diadakan pada bila-bila masa.
“Kalau terpaksa buat pemilihan pun, UMNO akan mengikut peraturan. UMNO bukan takut adakan pemilihan tetapi takut perpecahan.
“Sebab itu Veteran amat mengharapkan supaya benda ini (permohonan pindaan perlembagaan) dapat diselesaikan dan hadap PRU dulu, lepas (PRU) dengan tenang,” jelasnya.