
Perpecahan dalaman UMNO dijangka lebih teruk selepas PRN nanti.
Perpecahan dalaman UMNO dijangka akan lebih teruk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, ramal seorang penganalisis politik.
Kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah cukup memperlihatkan huru-hara yang berlaku dalam UMNO, malah lebih parah apabila Presidennya enggan memikul tanggungjawab walaupun dikatakan menjadi menjadi punca prestasi parti merudum.
PRU-15 diadakan juga ekoran desakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tetapi apabila kalah teruk yang disalahkan pula adalah orang lain.
Malah, akar umbi nampaknya juga sudah mula tidak senang melihat Zahid yang menang pemilihan tanpa pertandingan dan menyuruh ahli-ahli parti menyokong DAP pada PRN nanti.
Penganalisis Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis tidak menolak perpecahan dalam UMNO wujud walaupun Zahid sudah membuang kumpulan penentangnya sebelum ini dan jika gagal mencapai prestasi baik dalam PRN, berkemungkinan ia akan menjadi lebih serius lagi.
“UMNO sudah berpecah kepada beberapa puak, seperti kem Zahid, Bossku (Datuk seriNajib Razak) dan kem berkecuali yang mungkin mempunyai idea sendiri.
“Saya percaya ini (perpecahan dalam UMNO) akan bertambah buruk, jika keputusan PRN tidak memihak kepada mereka,” kata Mujibu dipetik laporan FMT.
Zahid sebelum ini sudah menyingkirkan penentangnya seperti Khairy Jamaluddin, bekas Ahli Parlimen seperti Tan Sri Noh Omar, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim.
Beliau berkata, PRN akan menjadi pungutan suara terhadap keputusan pucuk pimpinan parti bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU tahun lepas, apabila UMNO hanya memenangi 26 kerusi.
Susulan itu, ramai pemimpin UMNO menggesa Zahid melepaskan jawatannya, seperti dilakukan oleh Najib apabila Barisan Nasional hilang kuasa pada 2018.
Mujibu berkata, akar umbi UMNO juga sangsi dengan keputusan kerjasama dengan PH yang didalamnya terdapat DAP, musuh tradisi mereka selama ini.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Dr Mazlan Ali berkata, PRN di Pulau Pinang, Kedah, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi pengukur penting sokongan akar umbi terhadap keputusan pucuk pimpinan.
Katanya, keupayaan parti itu mengekalkan kerusi di enam negeri akan menjadi petunjuk jika parti itu masih relevan dalam kalangan pengundi.
“Jika prestasi UMNO buruk, ini menunjukkan parti itu perlu berusaha lebih untuk mendapatkan semula sokongan.
“(Parti) perlu merangka strategi baharu dan memikirkan cara untuk terus memenangi sokongan rakyat,” katanya lagi.