Bantah darurat: UMNO, pembangkang pelampau politik

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak kumpulan yang menentang perintah darurat sebagai pelampau politik yang lebih mengutamakan agenda politik peribadi berbanding nyawa rakyat Malaysia.

Tanpa menyebut mana-mana pihak, kenyataan Hadi yang dimuat naik dalam Facebook beliau hari ini dipercayai ditujukan kepada kepimpinan UMNO, dan parti pembangkang yang kerap mendesak kerajaan menamatkan darurat.

Malah pembangkang turut menubuhkan Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat dipengerusikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, sementara pemimpin UMNO kerap mendesak darurat ditamatkan dan Parlimen dibuka untuk persidangan.

Hadi berkata, sekarang ini muncul kumpulan penentang perintah darurat yang terlampau rakus melebihi golongan pelampau agama yang meletupkan bom.

“Seolah-olaah mereka tidak berada di planet bumi yang dilanda wabak (Covid-19) itu. Alasannya hanyalah lebih bersifat politik untuk mengintai agar mendapat kuasa yang terlepas, laksana ayam terlepas tangannya berbau.

“Namun, mereka langsung tidak peduli terhadap kemungkinan bahaya yang mendatang, dengan mengambil langkah politik sepanjang masa, tanpa mempedulikan terhadap bahaya wabak yang memakan korban di seluruh dunia.

“Puncanya ialah kerana bersikap melampaui batas dalam berpolitik sehingga menenggelamkan ekonomi dan keselamatan yang sekadar menjadi tempat berlindung segala kerakusan dalam politiking,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu membidas tindakan pelampau politik itu yang menjadikan faktor ekonomi dan keselamatan sebagai alasan, sedangkan ia hanya dijadikan pelindung nafsu politik yang melampau.

“Namun, masih tidak boleh meninggalkan perangai politik gila yang melampau kerana telah kehilangan kuasa dalam khayalan berebut kuasa antara satu sama lain dalam kumpulannya.

“Sehingga merancang langkah politik laksana jerung lapar yang bersembunyi di sebalik batu kerana sukar untuk mendapatkan semula kuasa dengan segala cara yang benar dan bohong. Namun, jerung yang besar dan ganas itu tidak mudah untuk berlindung seperti udang di sebalik batu.

Hadi berpesan jika yang menebuk kapal itu adalah manusia maka ia wajib dicegah, tetapi jika yang menebuk itu adalah spesies jerung maka ia perlu dihapuskan demi menyalamatkan semua.

“Lihat sahaja kelibatnya, sepatutnya sudah dapat dikenali apakah jenis ikannya, sama ada udang di sebalik batu atau ternyata laksana jerung yang sedang menunggu.

“Inilah lagak pelampau politik yang tergila-gilakan untuk berkuasa, yang akhirnya pada kemudian hari mereka akan menyesal disebabkan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

POPULAR