Umno pasti menang besar di Melaka, kata pengikut fanatik Najib

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil hari ini melahirkan keyakinan bahawa UMNO mempunyai peluang cerah untuk menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Menurut bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak itu lagi, rakyat juga tidak akan memilih Pakatan Harapan (PH) serta Pakatan Nasional (PN) pada PRN Melaka sekiranya ia diadakan.

Ini kerana, katanya, PH mempunyai rekod buruk mentadbir kerajaan sehingga ekonomi menjadi semakin teruk dan PN pula ramai ahlinya terdiri daripada anggota yang lompat parti.

“PH gagal mentadbir kerajaan sehingga keadaan ekonomi menjadi semakin teruk. PN pula terdiri daripada ramai pelompat parti yang mana pengundi tidak suka amalan ini.

“Oleh itu rekod PH dan PN masih tidak baik malah buruk di mata rakyat. Kerana itu saya rasa, rakyat tidak akan memilih mereka semula.

“Jika dilihat selama berdekad-dekad BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi dan untuk memulihkan negara dari krisis.

“Sebab itu saya lihat jika PRN diadakan di Melaka, pada hemat saya BN ada peluang cerah untuk menang sekurang-kurangnya 17 ke 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membentuk semula kerajaan negeri, dengan usaha kuat kita dan dengan izin Allah,” katanya dalam satu kenyataan.

PRN Melaka akan diadakan selepas Speaker Dun Melaka, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan DUN Melaka ke-14 berkuatkuasa 4 Oktober 2021.

Ini disebabkan penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

ADUN-ADUN tersebut adalah Datuk Seri Idris Haron (BN- Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

BERITA BERKAIT
POPULAR