
UMNO kini menjadi rakan sekutu Pakatan Harapan.
Rundingan kerusi sesama parti dalam kerajaan campuran masih berjalan dan masih belum mencapai keputusan muktamad, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Presiden Parti Amanah itu mengesahkan laporan media sebelum ini berhubung isu UMNO berminat untuk bertanding di kerusi yang sebelum ini ditandingi mereka, namun menegaskan ia hanya satu perkara biasa.
“Itu perkara biasa (merisik kerusi Amanah) dan kita masih dalam perbincangan. Keputusan akhir hanya akan ditentukan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Perpaduan,” katanya dipetik laporan BH.
Mohamad terdahulu menghadiri Majlis Rumah Terbuka Rahmah Aidilfitri anjuran Parti Amanah Pulau Pinang di Teluk Kumbar.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Parti Amanah memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di kerusi parti it, namun enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.
“Saya tak boleh kata kita bersedia atau tidak, tetapi kita sedang berunding.
“Apa saja keputusan akan dibuat selepas berunding dan selalunya rundingan akan selesai apabila hampir pilihan raya,” katanya.
Terdahulu, sebuah portal Sebuah portal melaporkan Parti Amanah akan menjadi korban dalam pembahagian kerusi di Selangor apabila UMNO dikatakan menuntut kerusi yang banyak terutamanya yang ditandingi mereka sebelum ini.
Dalam laporan tersebut, UMNO dikatakan menuntut kerusi komposisi majoriti Melayu di Selangor yang sebelum ini ditandingi Parti Amanah.
Alasan diberikan adalah Parti Amanah tidak mempunyai sokonga kukuh dikalangan pengundi Melayu berbanding UMNO, malah parti itu dianggap sebagai boneka kepada DAP sebelum ini.