
Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dakwaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan awal kerana kes mahkamahnya adalah dakwaan serius membabitkan integriti hakim dan institusi kehakiman.
Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan berkata dakwaan itu menimbulkan persepsi bahawa perjalanan perbicaraan akan berubah sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum (PRU).
Beliau menjawab kenyataan dibuat Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, yang mendakwa Presiden UMNO itu berkeras mahu PRU-15 dipercepatkan, kerana takut dipenjarakan.
“Bila PRU akan diadakan dan jika BN menang, apa yang Datuk Seri Sanusi cuba katakan? Kerana BN menang, hakim tiba-tiba terpaksa mengubah fikirannya?
“Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara,” katanya Shahril dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
Menurutnya, sekarang ini pun Perdana Menteri adalah daripada UMNO dan berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal selepas PRU-15
“Sekarang pun, Perdana Menteri dari UMNO. Berdasarkan keputusan MKT UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?
“Tambahan lagi, tiada jaminan BN akan menang PRU.
“Suara yang menantikan PRU dan mandat baru ada dikalangan ahli parti dan rakyat. Mereka tiada kes mahkamah,” katanya.
Semalam, Sanusi membalas kritikan Zahid terhadap PAS, dengan mengatakan Presiden UMNO itu takut dipenjarakan jika lambat diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya Zahid, yang kini berdepan perbicaraan puluhan kes jenayah rasuah, bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal daripada sepatutnya kerana takut dipenjarakan.
“Dia takut masuk penjara kalau PRU lambat. Talian hayat dia untuk elak masuk penjara hanyalah cuba merebut kuasa untuk memastikan kluster mahkamah dapat diselamatkan daripada hukuman melalui campur tangan kerajaan baharu,” kata Sanusi.