
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
PAS membalas kritikan pemimpin UMNO bahawa parti Islam itu takut untuk menggunakan logo sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebaliknya menyifatkan parti nasionalis Melayu itu yang lebih penakut.
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata dalam sejarah penyertaan PAS dalam PRU, parti itu lebih berani menggunakan logo sendiri sama ada menang atau kalah.
Sebaliknya beliau menyifatkan UMNO lebih penakut kerana sepanjang PRU yang diadakan di negara ini, parti itu tidak pernah menggunakan logo sendiri – logo tulisan Jawi dengan keris bersilang.
“Sepanjang berada dalam politik tanah air, PAS tetap kental menggunakan logo sendiri sama ada menang atau kalah.
“Tapi UMNO tidak, sejarah PRU negara menunjukkan parti itu (UMNO) tidak pernah menggunakan logo mereka. Dulu menggunakan lambang Perikatan, kini Barisan Nasional (BN).
“Siapa sebenarnya yang takut dalam soal ini?” katanya pada Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan malam tadi.
Program tersebut dianjurkan bersama Dewan Usahawan Kelantan (DUKE), Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Kerajaan Kelantan.
Media sebelum ini melaporkan, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa PAS sedang mengalami krisis keyakinan diri dan tidak lagi yakin dengan kekuatan mereka apabila sentiasa menurut Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam berpolitik.
Nur Jazlan berkata, perkara itu dapat dilihat apabila kepemimpinan PAS sebelum ini memberitahu akan menggunakan logo sendiri dalam PRU15 sebelum menukar pendirian mereka.