UMNO kena ikut sunnah sebelum tidur elak mimpi bukan-bukan

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia, Nina Yusof.

Srikandi Bersatu Malaysia menasihati Wanita UMNO supaya memenuhi tuntutan sunnah Rasulullah SAW sebelum tidur, agar mereka tidak ‘bermimpi’ yang bukan-bukan.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia, Nina Yusof berkata, mimpi adalah mainan syaitan kecuali sebelum tidur seseorang memenuhi tuntutan sunnah seperti berwuduk, berdoa, membaca tiga qul, berzikir, tidur di sisi kanan dan lain-lain lagi.

“Maka mimpi yang dimaksudkan oleh Ketua Wanita UMNO ini jatuh dalam kategori yang mana?

“Adakah mimpi yang benar atau mimpi mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak Adam atau Mimpi yang terkesan daripada kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur?,” katanya mengulas ucapan Ketua Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, hari minggu lalu.

Antara lain, Noraini dalam ucapannya di PWTC Sabtu lalu berkata, Wanita bersetuju UMNO dan Bersatu ‘sukar untuk tidur sebantal’, kerana parti itu mempunyai ‘mimpi yang berbeza’.

Mengulas lanjut, Nina berkata, realitinya ‘mimpi’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin disertai PAS, STAR, SAPP dan Gerakan adalah berpaksi kepada usaha memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan.

“Melainkan UMNO yang ‘sukar untuk tidur sebantal’ tidak bermimpi langsung untuk penyatuan ummah serta memelihara perpaduan.

“Contoh berpijak kepada realiti dan tidak bersandarkan kepada ‘mimpi’ adalah parti PAS yang bertegas dengan pendirian mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkukuh PN demi mencapai matlamat utama iaitu menyatupadukan parti Melayu dan umat Islam,” katanya.

Beliau mengingatkan UMNO supaya bangkit daripada diulit mimpi yang terhasil daripada ‘takut kepada bayang-bayang sendiri’.

“Kebenaran atau realiti adalah pahit tetapi adalah lebih baik daripada terus diulit dengan mimpi yang tidak-tidak,” katanya.