
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Othman Aziz.
UMNO Kedah menyalahkan pemimpin PAS yang mengeluarkan pelbagai kenyataan hingga mengeruhkan hubungan dan kerjasama kedua-dua parti dalam Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Othman Aziz juga mendakwa penyertaan PAS ke dalam Perikatan Nasional (PN) menyebabkan hubungan MN semakin longgar.
Walaupun secara peribadi masih mendukung semangat MN, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jerlun menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti berhubung kerjasama MN.
“Saya sentiasa mendukung semangat muafakat dan selalu berkata orang Melayu tidak mampu untuk berpecah.
“Namun kita sedih apabila keakraban yang disemai UMNO dan PAS mula longgar sejak parti itu masuk ke dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan pelbagai kenyataan dikeluarkan pimpinan mereka sendiri.
“Jadi, kami di bawah ini, akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan terutama lima di atas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melakarkan sesuatu yang memberi faedah jangka panjang demi agama, bangsa dan negara,” katanya menurut laporan BH.
Sehubungan itu, Othman meminta semua ahli UMNO dapat bergerak bersama bagi memperkukuh parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
“Kita kena bergerak sederap dengan niat untuk sama-sama memperkuatkan ikatan. Kita perlu praktikkannya, jangan kita praktik hanya untuk kesenangan diri masing-masing sahaja.
“Itu tidak boleh dibuat sebab dalam perjuangan, kita bukan hanya melihat pada diri semata-mata,” katanya.